Tuesday, June 19, 2012

Di Kedah...Bila BN Meracau.. Maka Hangpa kena Lihat Isu Sebaliknya...

Di mana PR berjaya, di situ BN meracau

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

Mudah saja untuk mengesan kejayaan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah; di mana pembangkang (BN) meracau maka di situ terdapatnya kejayaan yang dibuat PR. Penulis telah membuat ulasan panjang lebar dua keluaran lalu bahawa punca BN mensensasikan isu pencemaran di Gunung Inas, Baling bukanlah berpunca dari pembalakan yang berleluasa tetapi kerana ‘terpukul’ dengan kejayaan kerajaan negeri membangunkan Ladang Rakyat yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat bawahan.

Ada lagi catatan keributan pembangkang di sekitar Gunung Inas yang tidak membabitkan Ladang Sejahtera iaitu kawasan yang diterokai oleh orang kampung sejak lebih 60 tahun dahulu. Baru-baru ini Pejabat Tanah Daerah Baling dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kupang (YB Johari Abdullah, PAS) telah mendapat tohmahan kononnya mengambil wang dari pemohon tanah sedangkan kelulusan tanah terhadap mereka tidak diberi.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah apabila peneroka haram tanah kerajaan tersebut mahu memohon tanah mereka mestilah mengukur dengan tepat keluasan tanah terbabit. Kerja mengukur dilakukan oleh jurukur professional Ismail Talib dan kos mengukur mesti dibayar oleh pemohon dengan kadar RM170 seekar. Jika luas tanahnya, ribuan ringgitlah yang terpaksa dibayar. Duit yang dibayar kepada juru ukur itulah ditohmah oleh pembangkang sebagai diambil oleh pejabat wakil rakyat kononnya sebagai 'duit kopi'.

Memang proses untuk kelulusan tanah memakan masa kerana melalui beberapa peringkat. Ia melibatkan Jawatankuasa Tanah Daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah, Pejabat Tanah & Galian Negeri, Jabatan Perhutanan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Ia tidak semudah melenyapkan mayat Altantuya yang hanya memerlukan satu arahan dan dua petugas.

Selambat mana pun kerenah birokrasi yang terpaksa dilalui yang penting kerajaan PR telah melakukan proses pemberian tanah untuk rakyat. Sehingga ini sudah dua fasa tanah iaitu Air Kupang dan Bokbak sedang diproses oleh kerajaan negeri. Pemohon hanya memerlukan sedikit kesabaran dan pengorbanan membayar kos mengukur. Akibat hasutan pembangkang segelintir dari mereka menjadi hilang sabar dan diperalatkan untuk memprotes wakil rakyat yang membantu tapi ramai yang bersyukur dan berterima kasih terhadap bantuan wakil rakyat.

Kejayaan di sebalik tohmahan BN itu ialah kerajaan PR menghulurkan tanah kepada rakyat yang tidak dapat dilakukan BN sepanjang separuh abad berkuasa. Inilah sebenarnya punca pembangkang meracau.

Pembangkang di Kedah baru-baru ini mengarahkan remaja yang masih bersekolah untuk mengedarkan sebuah risalah yang bertanyakan kerajaan negeri ‘ke mana hasil balak yang keuntungannya berlipat kali ganda itu dibelanjakan?’. Dengan menerima sedikit upah, kanak-kanak sekolah yang tidak berdosa ini dikerah mengedarkan risalah tersebut di pekan-pekan sehari atau kepada orang ramai di mana sahaja di negeri ini.

Hasil balak yang cuma di sekitar RM9 juta setahun di bawah BN tetapi kini meningkat sehingga RM80 juta setahun semasa PR. Peningkatan berlaku kerana tender terbuka yang dilaksanakan kerajaan negeri. Dengan andaian hasil negeri adalah sama setiap tahun jika BN terus memerintah iaitu RM9 juta setahun, maka peningkatan yang dibuat PR sepanjang empat tahun ialah RM176 juta.

“Kononnya hasil balak banyak, ke mana duit itu dibelanjakan?” itulah soalan popular yang diracau oleh pembangkang dalam ceramah, risalah dan perang saraf di akar umbi. Mereka rasakan seolah-olah itu soalan cepu emas yang susah sangat hendak dijawab.

Jawapannya sangat senang, iaitu apa saja yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan negeri di zaman BN tetapi dibuat di zaman PR, maka ke situlah duit tersebut dibelanjakan.

Antaranya ialah pemberian Kafalah RM500 setiap keluarga si mati yang miskin, bantuan masuk IPTA RM400 ijazah dan RM200 diploma, peningkatan bantuan kebajikan dari minimum RM80 kepada minimum RM190, membiayai program kebudayaan pelbagai kaum, kewujudan kem Institut Latihan Belia Sejahtera, pembinaan Maahad Tahfiz Sains di Langkawi bernilai RM15 juta, menaikkan belanja pengurusan Maktab Mahmud di seluruh negeri, bantuan kepada sekolah agama rakyat dan sebagainya yang semua ini tidak dibuat di zaman BN. Atau mungkin jika ada sedikit bantuan yang sama seperti yang disenaraikan di atas di masa BN maka ia adalah pemberian kerajaan Pusat bukan Negeri.

Demikian juga semua tahu bahawa punca BN meracau isu Madrasah Salihiah ialah kerana kejayaan PR membawa masuk pelaburan RM600 juta sambil menggantikan sebuah surau kepada yang lebih besar dan gah.

Selepas ini rakyat boleh buat percaman; jika ada isu yang BN tiba-tiba buat kecoh maka lihatlah di sebaliknya, biasanya terdapat kejayaan PR.

1 comment: