Tuesday, June 5, 2012

Keputusan injunksi interim Madrasah Salihiah 19 Julai

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini, semalam, membenarkan permohonan injunksi interim bagi menghentikan sebarang tindakan terhadap Madrasah Salihiah, Kanchut, sehingga tarikh pendengaran semula pada 19 Julai depan.

Hakim, Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan berkenaan dalam kamarnya.

Menurutnya, keputusan permohonan injunksi interim jangka panjang sehingga kes selesai ditangguhkan ke tarikh pendengaran semula kerana peguam mewakili ketiga-tiga defendan masih belum beri jawapan dalam tempoh dua minggu yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini.

Katanya, tempoh masa panjang yang diberi sehingga Julai ini bagi membolehkan peguam kemukakan dokumen berkaitan dan jawab hujahan dalam afidavit.

Pada tarikh pendengaran semula juga keputusan dapatkan permohonan injunksi interim jangka panjang akan diketahui setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan defendan atau ejen dihalang ambil sebarang langkah termasuk beri notis mengosongkan tanah kepada plaintif, termasuk merobohkan bangunan madrasah sepanjang tempoh itu.

Permohonan awal untuk mengarahkan wang pampasan RM1,437,300 yang dibayar oleh pejabat Tanah Daerah Kota Setar kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) tidak dilupuskan sehingga tarikh itu turut kekal.

Plaintif pertama diwakili, Timbalan Pengerusi jawatankuasa madrasah, Jamludin Murad, 58, sementara itu, ahli jawatankuasa madrasah, Fadzil Ishak, 61, sebagai plaintif kedua, Fidel Firaidi Mustapa, 49, dan Fidel Firaidit Mustapa, 49, selaku plaintif ketiga serta keempat yang merupakan waris Siti Aishah yang mewakafkan tanah.

Defendan pertama, kedua dan ketiga dinamakan sebagai Maik diwakili peguam Nawal Harun@Abd Rahman, Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan Kerajaan Negeri Kedah diwakili peguam Persekutuan, Rafiah Yusof.

No comments:

Post a Comment