Rakyat Kedah rasai kejutan himpunan Hijau
Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)
Malam menjelang 1 Jun pada keesokan harinya, perkarangan Stadium Darul Aman sudah sesak dengan kehadiran orang ramai. Ia mengingatkan kita kepada malam sebelum himpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur tempohari. Ramai yang sudah berhimpun lebih awal sebelum perhimpunan sebenar bermula.
Sejak pagi 1 Jun di mana himpunan kemuncak Hijau Ke Putrajaya dijadualkan diadakan pada sebelah malamnya, bandaraya Alor Setar sudah berubah suasana. Kehadiran berbondong-bondong penyokong PAS dari seluruh negara bertamu di ibu negeri Jelapang Padi ini menyebabkan para peniaga merasakan satu kejutan, lebih-lebih lagi di Kompleks Pekan Rabu yang merupakan pusat beli belah terunggul orang Melayu di Alor Setar sejak berdekad-dekad. Kedai makanan dipenuhi di mana-mana oleh kumpulan orang berbaju hijau.
Adatnya, bila ramai orang berhimpun maka peniagalah yang paling banyak mendapat manfaat, kecuali para peniaga di Kuala Lumpur. Mereka ‘rugi besar’ jika kehadiran orang terlalu ramai. Mungkin selama ini pelanggan mereka daripada keturunan jin, bukan manusia. Apabila manusia terlalu ramai maka jin pun melarikan diri.
Semakin masa bergerak ke sebelah petang dan malam, kehadiran umat manusia memasuki bandaraya Alor Setar untuk ke Stadium Darul Aman makin bertambah. Khabarnya kereta yang bertali arus bersesak sehingga ke lebuhraya. Di sekitar bandaraya, kenderaan peserta himpunan terpaksa diletakkan sejauh tiga kilometer bagi yang datang lewat. Ramai yang kecewa pulang begitu sahaja kerana merasa tiada kudrat untuk berjalan dalam jarak yang sangat jauh dengan stadium.
Hujan sangat lebat di sebelah petang tetapi ia tidak melunturkan semangat orang ramai untuk berhimpun di stadium dalam keadaan padang yang becak dan bersesak. Ada hikmahnya hujan turun. Jika tidak kerana hujan, mungkin ramai yang akan rasa megah dengan ‘kekuatan’ sendiri akibat kehadiran orang ramai, lebih-lebih lagi konvoi pemuda bermotorsikal yang bertali arus datang dari segenap kawasan dan negeri. Allah lebih mengetahui apa yang Dia lakukan.
Maka kejayaan pertama himpunan Hijau Ke Putrajaya ialah kejayaan mempamerkan kekuatan sebenar PAS kepada rakyat jelata; bahawa PAS makin bertambah kuat dan tidak pernah mundur walaupun berdepan dengan pelbagai propaganda musuh. Orang Kedah merasai kehadiran luarbiasa para penyokong PAS ke negeri ini, mereka melihat kereta yang bersesak di parkir di mana-mana sahaja, orang PAS serang stadium macam kelkatu. Mereka nampak di depan mata kekuatan PAS. Orang ramai yang hadir di stadium juga menyaksikan kehebatan PAS disokong oleh bekas nama-nama besar dalam negara yang beralih menjadi anggota PAS. Sekurang-kurang ia akan menjadi buah mulut untuk beberapa hari.
Di peringkat nasional pun begitu. Kemudahan teknologi maklumat menyebabkan segala catatan kejayaan himpunan tersebar seantero dunia. Mereka menyaksikan bagaimana nama-nama besar seperti Datuk Fauzi Shaari, penyanyi Aishah dan bekas ketua setiausaha kementerian menyertai PAS. Ia akan meningkat imej, sekaligus melonjakkan sokongan terhadap PAS. Kalau lonjakan berlaku sekitar 1 peratus pun ia sudah cukup besar, di saat Pakatan hanya memerlukan lima peratus pertambahan berbanding PRU12 untuk menawan Putrajaya.
Realiti terkini, sokongan dari pengundi Melayu yang berumur melebihi 40 tahun terhadap Pakatan mengalami sedikit ‘kecederaan ringan’ akibat serangan racis yang bertalu-talu dari Umno dan konco-konco upahan mereka. Dengan mengeksploit media yang diletakkan di bawah telapak kaki mereka, mereka semacam berjaya menghitamkan imej DAP dan KeADILan. PAS cuba diberi imej sebagai pak turut kepada DAP dan KeADILan. Ia tuduhan tidak masuk akal tetapi ada yang percaya.
Sebab itu kerja penting PAS sekarang ialah menyerlahkan semula imej PAS di kalangan Melayu Islam. Sekurang-kurangnya biarlah orang Melayu biasa, atas pagar atau Umno yang tidak kuat sangat pegangannya melihat PAS tidak lebih buruk dari Umno.
Pada malam itu Pengarah program Datuk Mahfuz Omar mengumumkan bahawa road show himpunan Hijau Ke Putrajaya akan diadakan di setiap negeri di seluruh negara. Ia idea yang sangat baik.
Demokrasi ialah cara memerintah dengan menggunakan pengaruh. Siapa yang lebih berpengaruh akan menang dan berkuasa. Demokrasi bukan persoalan siapa lebih benar. Justeru melebarkan pengaruh melalui apa cara sekalipun mestilah menjadi keutamaan sekarang. Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang digerakkan di seluruh negara adalah antara kaedahnya.
No comments:
Post a Comment