Tuesday, July 17, 2012

Alor Setar seperti Thailand

Wartawan Sinar Harian
17 Julai 2012
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempersoalkan jolokan 'Mini Thailand' untuk  bandar raya Alor Setar yang dibangkitkan Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh dalam soalan sembilan pertanyaan lisan yang tidak sempat dijawab dalam Dewan.

Azizan mahu gambaran sebenar apa yang dimaksudkan Adun Bebas itu mengenai dakwaan terbabit.

“Macam mana tu? Saya tak tahu apa maksud beliau? Sebab saya tidak tahu macam mana persembahan di pusat hiburan, adakah benar menampilkan penari wanita separuh bogel atau mungkin disabotaj dengan menggunakan teknologi canggih pertindihan gambar,” katanya ketika diminta mengulas soalan Mohammad Radzhi, yang mendakwa bandar raya Alor Setar dipenuhi pusat hiburan malah beberapa kawasan sudah seperti ‘Mini Thailand’ pada waktu malam.

Mohammad Radzhi turut membangkitkan rasional Kerajaan Negeri mengeluarkan begitu banyak lesen hiburan.

Mengulas perkara itu, Azizan berkata, kebanyakan lesen diluluskan sebelum Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Kedah.

“Saya hanya mahu kawal penglibatan orang Islam di pusat hiburan tetapi tidak halang bukan Islam berhibur. Saya dah panggil pegawai daerah dan dimaklumkan penyelarasan sudah dibuat termasuk kawalan kerajaan tempatan, pejabat daerah, polis dan jabatan agama,” katanya.

Menurutnya, perkara itu kini dalam pemerhatian dan pihak terlibat akan meningkatkan penguatkuasaan.

“Ada yang beroperasi tanpa lesen, kita tak dapat pantau. Jawatankuasa pelesenan peringkat daerah yang dilantik perlu buat kerja, tak kan pula semua perkara saya kena jaga,” katanya.

Isu pusat hiburan dibangkitkan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Alor Setar, Zulkifli Yahya mendakwa sikap segelintir pegawai kerajaan yang tidak menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 antara punca wujudnya pusat hiburan baru di negeri ini, Jun lalu.

Pendedahan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin Pas dan Barisan Nasional, yang mahu isu itu segera ditangani.

No comments:

Post a Comment