Peruntukan ad-hoc dana RM1 bilion diragui
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakop melahirkan keraguan berhubung peruntukan RM1 bilion Dana Strategik Pelaburan Domestik yang diumumkan Perdana Menteri, hari ini.
Keraguan tersebut berasaskan kepada keputusan yang dilakukan secara ad-hoc tanpa perancangan secara teliti berhubung misi dan visi ia dilakukan.
"Saya agak ragu-ragu dengan pengumuman ini. Kita tidak mendengar apa-apa perancangan mengenainya, tiba-tiba sahaja diumumkan hari ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Tegas Dr. Rosli, kerajaan perlu menentukan keperluan yang lebih besar sekiranya mahu berbuat demikian terhadap industri tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi.
Katanya, jumlah RM1 bilion itu tidak mencukupi untuk tujuan tersebut, malah memerlukan peruntukan lebih besar dari itu.
Selain mengatakan peruntukan itu dilakukan di luar bajet kerajaan, bekas Timbalan Pengarah Bank Negara itu juga berkata, ia juga bukan cara terbaik untuk promosi dalam negara apabila dilakukan secara ad-hoc.
"Cara terbaik memerlukan perancangan yang teliti dan tersusun, bersifat jangka panjang. Bukan hari ini, ingat...hari ini bagi. Ia hanya kerja sia-sia dan tidak efektif," tegas beliau lagi.
Beliau juga melahirkan kebimbangan jika peruntukan itu hanya untuk menolong kroni-kroni pihak tertentu dengan menyalurkan wang tersebut ke mana-mana pihak seperti dana pilihan raya BN.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion.
Dana itu bertujuan meningktkan penyertaan syarikat milik Malaysia dalam rangkaian beklan global, dalam industri sasaran iaitu bernilai tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.
No comments:
Post a Comment