Hak mereka dinafi Pusat tapi kerajaan negeri tetap bantu
ALOR SETAR – Sebanyak RM504,800 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui Tabung Tunku Mahmud kepada 5,048 pelajar dari sekolah-sekolah agama rakyat yang dinafikan hak oleh kerajaan Pusat. Sumbangan RM100 seorang itu melibatkan 28 buah sekolah agama rakyat yang bernaung di bawah Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat (HESA), Kedah.
“Empat tahun lalu kita melancarkan Tabung Tunku Mahmud dan melibatkan pemotongan elaun-elaun dari wakil-wakil rakyat, Exco-exco dan saya sendiri sebagai Menteri Besar.
“Pada hari ini, hasil tabungan ini, kita boleh salurkan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang dinafikan hak oleh kerajaan Pusat untuk menerima bantuan RM100 setiap pelajar sepertimana yang telah diterima oleh pelajar-pelajar sekolah lain,” ucap Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja, Ustaz Azizan Abdul Razak sempena Majlis Penyampaian Sumbangan RM100 kepada pelajar-pelajar sekolah agama rakyat di sini.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus membantu mengikut keupayaan, menggunakan saluran yang betul serta tanpa melibatkan penyalahgunaan kuasa. Sempena di bulan yang baik ini, kerajaan negeri mengambil kesempatan melakukan sedikit kebajikan lebih-lebih lagi kepada golongan yang berkecimpung dalam dunia pendidikan.
“Saya sendiri juga asalnya mula belajar dari sekolah-sekolah agama seperti ini dan dari situlah saya tahu bab agama. Saya bukan dari sekolah Inggeris dan bukanlah jahil dalam agama seperti mana tohmahan sesetengah pihak.
“Saya sangat menitik beratkan pendidikan dan kita kena ingat mercu kejayaan Kedah adalah pendidikan. Oleh itu kita berusaha sedaya upaya samada melalui Tabung Tunku Mahmud atau dari GLC untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat,” tambah beliau lagi.
Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk masa akan datang akan mencontohi Kelantan dan terus memperkasakan sekolah-sekolah agama rakyat. Setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan hampir mencecah RM3.1 juta bermula Oktober 2008 hingga Julai 2012 melalui HESA untuk membantu urusan pentadbiran di sekolah-sekolah berkenaan.
“Saya cukup terhutang budi dengan mudir-mudir sekolah-sekolah agama rakyat ini kerana dengan pengorbanan mereka Islam di Kedah dapat dipertahankan serta menghasilkan golongan berpendidikan Islam yang komited dengan agama dan negara dan sudah tentulah matlamat kerajaan negeri menuju ke arah keredhaan serta ketaqwaan terhadap Allah menjadi mudah,”sambungnya lagi.
Dalam ucapannya juga, beliau menyentuh berkenaan perkembangan KUIN yang menjadi lambang kemercuan pendidikan di Kedah sehingga menimbulkan rasa irihati pada sesetengah golongan. Kerajaan negeri telah berusaha kembangkan KUIN dari empat program ke lebih dari 40 program untuk memberi ruang yang lebih luas kepada anak-anak Kedah khususnya untuk menyambung pelajaran di situ.
“Pada zaman pemerintahan kerajaan dahulu, KUIN hampir-hampir dijual kepada individu tertentu dan walau pun KUIN mendapat pengikhtirafan sebagai Kolej Universiti tetapi ketika itu KUIN masih ditahap yang sangat terhad samada dalam bentuk program dan kemasukan pelajar,walhalnya KUIN mendapat peruntukan yang tinggi.
“Bila kita memerintah, kita rombak semula dan buat pembaharuan dan nanti anak-anak kita yang belajar di sekolah-sekolah agama rakyat ini dapat melanjutkan pelajaran mereka ke sana mengikut bidang-bidang yang sesuai dengan mereka,”jelasnya lagi.
Kata beliau, bukanlah satu kerja yang mudah apabila sesuatu pembaharuan yang hendak dilaksanakan. Laluan tidak boleh berjalan terlalu pantas, banyak kemucut dijalanan yang akan mengganggu perjalanan.Kalau setakat satu kemucut sahaja boleh menimbulkan tidak keselesaan, apatah lagi kalau dihinggapi dengan puluhan kemucut, tentukan sedikit sebanyak mengganggu kelicinan perjalanan sesuatu perancangan.
“Saya ini kadang-kadang pening juga dengan kerenah manja orang kita ini. Titi patah, longkang tersumbat, kerusi rosak, pintu reban, semua Menteri Besar kena tahu. Teruklah saya macam tu. Sedangkan dalam urusan-urusan apa pun kita memerlukan pengembelingan tenaga dan kerjasama,” celah beliau.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang akan menerima RM100 seorang dan akan berusaha dalam masa terdekat untuk menyalurkan bantuan kepada pihak sekolah untuk membantu kakitangan mereka terutama menjelang hari raya ini.
Majlis berkenaan diadakan di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Telok Bagan dan turut dihadiri oleh YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul dan YB Dato’Dr Isa Ismail.
No comments:
Post a Comment