Thursday, August 16, 2012

Penjelasan kepada yang dok komplein kata Kjaan Negeri nak makan duit Wat Siam...

Tiada hasrat bebankan wat
ROSLINDA HASHIM
16 Ogos 2012
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri tidak berhasrat membebankan pengurusan wat Siam dengan kerja mengukur tanah menggunakan khidmat juruukur swasta sebaliknya dibuat bagi manfaatnya pada masa depan.

Exco Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, Datuk S Manikumar berkata, keputusan untuk melaksana kerja-kerja mengukur tanah berkenaan dibuat bagi membolehkan status tanah tapak wat Siam diubah kepada status rumah ibadat.

“Kebanyakan status tanah wat Siam masih menjadi tanda tanya, ada yang berstatus tanah wakaf, tanah persendirian, milik Kerajaan Negeri dan rizab Melayu. Sebab itu kita perlu ukur tapak sebelum proses menukar status tanah dibuat,” katanya mengulas laporan Sinar Harian semalam.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Masyarakat Siam Negeri Kedah dengan mendapat persetujuan bersama dari Ketua Sami Kedah/Perlis termasuk perwakilan dari setiap daerah.

“Perkara ini dicadangkan oleh semua yang hadir dan mereka memilih juruukur swasta bagi mempercepatkan proses. Jika dibuat oleh agensi kerajaan, pasti mengambil masa lama kerana kekurangan kakitangan,” katanya.

Manikumar berkata, inisiatif ini pertama kali dilakukan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan masyarakat Siam terjamin.

“Mungkin perkara ini kurang difahami menyebabkan ada pihak yang membantah. Berdasarkan Kanun Tanah Negara 62 (2)(C), apabila tanah diubah status kepada rumah ibadat, ia tidak lagi boleh diganggu. Inilah yang sedang kita usahakan agar tapak wat Siam diberi status ini,” katanya.

Mengulas mengenai bayaran yang dikenakan bagi kerja mengukur perlu ditanggung pengurusan wat Siam berjumlah RM2,600, Manikumar berkata, ia harga terendah yang ditawarkan oleh beberapa syarikat.

“Saya harap mendapat kerjasama semua pihak, kita hanya mengenakan caj perkhidmatan syarikat terbabit dan Kerajaan Negeri tidak mengenakan apa-apa caj tambahan,” katanya.

Menurutnya, syarikat berkenaan sudah memulakan kerja mengukur bermula bulan ini dan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Setakat ini, lebih 20 daripada 45 wat sudah menyatakan persetujuan dan Kerajaan Negeri tidak pernah memaksa mereka untuk menerima sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan pengurusan wat terbabit.

“Kita bukan paksa, terserah kepada wat untuk ikut atau tidak. Jika ada yang enggan, bermakna mereka tidak mahu status tanah diubah kepada rumah ibadat. Ini untuk menyenangkan mereka di kemudian hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment