Kerahkan ahli-ahli PAS berqiyamullail 10 malam terakhir
Himpunan Kuning, Hijau, Merah, Oren... boleh himpun beribu2 manusia. Jom pi berhimpun kat masjid pulak 10 malam terakhir Ramadhan!!!
Oleh: ZUKIFLI YAHAYA
PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Oleh: ZUKIFLI YAHAYA
PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.
Andaian Presiden itu ada logiknya, kerana antara cabaran utama BN ialah undi golongan menengah dan terpelajar, khususnya yang berhijrah ke Lembah Kelang. Mereka sangat terdedah dengan maklumat, justeru majoritinya tidak memihak kepada kerajaan BN yang yang sudah terlalu tua dan korup. Ketakutan BN bukan sangat kerana undi mereka, kerana setiap seorang yang pulang mengundi di kampung hanya membawa satu undi. Tetapi ketakutan BN ialah kuasa mempengaruhi yang dimiliki oleh golongan terpelajar.
Jika benar apa yang diramalkan oleh Tuan Guru bermakna PAS sebenarnya dihadiahkan dengan mesin penjana kekuatan ke arah kemenangan iaitu sebuah bulan Ramadhan. Jika PRU13 berlaku sebaik selesainya Ramadhan bermakna seluruh amilin PAS baru selesai menjalani tamrin yang lumrahnya akan mendekatkan perjuangan Islam dengan kemenangan.
Hari ini beberapa negara Arab yang tidak pernah mengecapi demokrasi tetapi apabila sekali mereka berpeluang memperolehinya kumpulan Islam yang tertindas sejak berdekad mula beroleh kuasa atau sekurang-kurangnya mempunyai suara yang lebih lantang di Parlimen, berbanding zaman mereka ditindas.
Di dunia Arab dan di Nusantara, gerakan Islam tidak pernah memiliki kekuatan logistik atau keupayaan fizikal yang lebih besar dari kumpulan sekular. Di Malaysia, PAS berbanding UMNO atau mana-mana parti kerajaan adalah ibarat semut dan gajah dari aspek kekuatan lahiriah tetapi ‘semut yang tertindas’ ini mampu mempertahankan kerajaan Kelantan selama 22 tahun berturut-turut.
Semua kita di seluruh negara nampak bagaimana Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta kepimpinan yang berteraskan ulamak di Kelantan memantapkan kerohanian ahli-ahli PAS serta mentarbiah rakyat dengan Islam. Saya teruja dengan kesungguhan kerajaan negeri membuat pengisian pengimarahan Ramadhan dengan peruntukan khas RM1 juta. Bukan pertama kali tetapi berkali-kali pemimpin-pemimpin PAS yang memahami tarbiyah menegaskan bahawa ‘kekuatan kita untuk mengalahkan musuh bukan kerana kekuatan lahiriah yang dimiliki tetapi kekuatan keimanan, manakala maksiat yang kita lakukan boleh menjadi sebab untuk musuh mengalahkan kita.’
Peristiwa Badar di bulan Ramadhan adalah iktibar terbaik untuk memenangi peperangan. 313 tentera Muslimin dengan senjata seadanya, dua ekor kuda dan 70 ekor unta mengalahkan tentera musuh dengan 1000 tentera kafir Quraisy dengan 600 pakaian perang, 100 kuda dan 700 unta. Rahsianya ialah kekuatan iman, taqwa dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Rahsia umum itu kemudiannya diguna pakai oleh semua tentera Islam (yang beriman) di semua peperangan yang membawa kemenangan. Kita diceritakan dengan sejarah masyhur para sahabat yang menang kerana bersugi dan Salahudin Al-Ayubi yang mengusir sekumpulan tenteranya pulang hanya kerana ‘kesalahan’ tidak berqiyamullail yang akhirnya membawa kemenangan.
Bertarung di medan perang atau di medan demokrasi, pertembungan antara hak dan batil sama saja bagi kumpulan Islam. Perkara paling asas ialah kekuatan iman dan taqwa. Musuh mempunyai kekuatan 3M (machinery, media, money) iaitu jentera kerajaan yang disalahgunakan, media yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Pusat dan wang untuk merasuah pengundi. Kekuatan itu tidak dimiliki oleh PAS tetapi terbukti di dunia ini kekuatan seperti itu mampu dikalahkan oleh kumpulan yang beriman dan bertaqwa.
Sepanjang separuh abad PAS telah menyampaikan penerangan melalui pelbagai kaedah, berdemonstrasi, berhimpun menunjukkan kekuatan serta memasyarakatkan PAS dengan pendekatan lunak untuk memikat masyarakat. Semuanya dibuat secara bersunguh-sungguh dan besar-besaran.
Membina kekuatan kerohanian di bulan Ramadhan pun sepatutnya begitu. Perlu digembelengkan secara bersunguh-sungguh dan besar-besaran, cuma tidak perlulah diwar-warkan untuk menang pilihanraya, tetapi untuk kemantapan kerohanian amilin PAS.
Terlalu banyak ibadah khusus yang muncul di bulan Ramadhan yang boleh diperkasakan dalam program tersusun. Banyak juga ibadah biasa yang boleh diperkasakan di bulan Ramadhan. Dalam banyak yang boleh dilakukan, apa kata kalau seluruh ahli PAS di seluruh negara dikerahkan untuk menghidupkan ibadah atau munajat di sepuluh malam terakhir. Memang sudah ada yang melakukan tetapi masih ‘segelintir’ berbanding beratus ribu ahli PAS.
Mereka pernah digerakkan ke himpunan kuning, hijau, merah dan oren. Kerahkan mereka keseluruh masjid dan surau untuk mengimarahkan 10 malam terakhir. InsyaAllah PAS akan lebih kuat berbanding dengan memiliki 1000 orang pemidato di pentas ceramah. Yakinlah!


Tak lulus cuti untuk pilihanraya, pakat MC jer.
ReplyDelete