Wednesday, March 23, 2011

Notis Roboh : Sabaq datuk.. ini punya kerja boleh jatuh negeri ooo...

Notis roboh jika degil

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diminta menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas terhadap pemilik rumah yang membuat pengubahsuaian hingga melebihi had dibenarkan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, kebanyakan rumah didapati melanggar syarat pengubahsuaian apabila aspek keselamatan diabaikan, malah bangunan tambahan yang dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Terdapat rumah yang bina tambahan bangunan hingga ke laluan belakang yang merupakan jalan rizab. Sepatutnya laluan itu kosong iaitu menepati ukuran 10 kaki untuk laluan kecemasan,” katanya.

Menurutnya, tindakan pemilik rumah itu bukan sahaja membahayakan nyawa ahli keluarganya, tetapi juga membahayakan jirannya.

“Sepatutnya penduduk fikirkan laluan kecemasan, ini sebaliknya pula. Jika berlaku kebakaran, sukar untuk kita selamatkan mangsa dalam rumah yang terperangkap. Saya juga hairan bagaimana pelan bangunan itu boleh lulus jika diperiksa oleh MBAS, ini bermakna ia dibina secara haram,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya telah mengarahkan MBAS supaya membuat pemeriksaan di kawasan perumahan dan mengeluarkan notis roboh kepada penduduk yang berdegil, sekiranya mereka enggan merobohkan bahagian binaan yang melanggar spesifikasi dibenarkan.

“Pemilik rumah itu sebenarnya melakukan dua kesalahan, iaitu bina secara haram dan membahayakan orang ramai kerana tidak ikut syarat. Binaan itu perlu dirobohkan sama ada pemilik roboh sendiri atau MBAS akan lakukan,” katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, pihaknya memandang serius isu ini kerana tidak mahu dipersalahkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, kerana amaran telah dikeluarkan.

“Apabila ditegur, penduduk tidak endah. Apabila berlaku kebakaran, MBAS akan dipersalahkan sebab tidak ambil tindakan awal. Sikap sebegini harus di kikis dan harap pemilik rumah lebih bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga penduduk yang sewenang-wenangnya menambah tingkat atas bangunan walaupun pelan tidak diluluskan.

“Kes-kes yang serius akan dikenakan tindakan tegas. MBAS boleh berkompromi bagi kes-kes kecil dengan meminta kerjasama pemilik ubahsuai semula mengikut syarat sedia ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment