Tuesday, April 19, 2011

Ahmad Bashah dibidas

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah kesal terhadap kenyataan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mempertahankan pendirian bahawa parti itu tidak bersalah menggunakan peruntukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, laporan audit sebelum ini membuktikan wang itu digunakan bagi tujuan parti politik UMNO, malah telah menerima teguran daripada audit menyatakan berlaku perbelanjaan yang tidak selaras dengan penubuhannya.

“Saya alu-alukan sokongan Ahmad Bashah supaya siasatan dibuat ke atas penyelewengan wang GLC ketika ditadbir Barisan Nasional (BN), selepas laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibuat oleh Pemuda Pas, namun kesal dengan kenyataannya yang tidak bijak,” katanya.

Menurutnya, kenyataan Ahmad Bashah yang mengatakan UMNO Kedah hanya menggunakan ‘sedikit peruntukan syarikat terbabit’ untuk menampung kehadiran pemimpin Kerajaan Persekutuan adalah tidak salah, tidak boleh diterima kerana wang itu adalah hak rakyat.

“Persoalannya atas perkiraan apa wang berjumlah RM8 juta dikatakan jumlah yang sedikit? Jumlah ini juga dinyatakan dalam jawapan kepada soalan lisan oleh wakil rakyat Kuala Ketil pada Sidang DUN 4 April lalu,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, antara perbelanjaan yang dicatatkan pada perbelanjaan wang syarikat :Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) adalah sumbangan persiapan tempat majlis perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap (RM10,000), sumbangan kepada UMNO Negeri (RM200,000), membekal kain tudung kepada Puteri UMNO (RM20,000) dan sumbangan lawatan sambil belajar Pemuda UMNO ke Sumatera, Indonesia (RM10,000).

“Jika diteliti, perbelanjaan itu tiada kena mengena dengan sambutan pemimpin Kerajaan Pusat ke Kedah, sebaliknya adalah perbelanjaan untuk aktiviti UMNO,” katanya.

Berikutan itu, Pemuda Pas menggesa pihak berwajib menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya harap dengan pendedahan ini, rakyat dapat membuat penilaian dan pendirian dalam isu berkaitan berdasarkan maklumat yang sahih. Inilah situasi yang ditinggalkan oleh kerajaan lama yang terpaksa diatasi oleh kerajaan sekarang,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, berhubung kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat (PR) juga melakukan perkara yang sama dengan BN, ia adalah satu tuduhan melulu semata-mata.

“Ingin saya tegaskan program Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera pada Mac lalu adalah program kerajaan negeri, yang diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Bukan program politik, tak ada pun unsur politik dalam penganjuran itu,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan disalah tafsir sebagai program politik, sedangkan ia adalah platform menjelaskan dasar-dasar, pencapaian, dan perancangan Kerajaan Negeri.

“Mana boleh samakan perbelanjaan program seumpama itu dengan penggunaan wang GLC hingga mencecah RM8 juta untuk aktiviti parti UMNO?” katanya.

1 comment: