Monday, January 2, 2012

Salihiah: Pelupusan harta wakaf menurut fiqh waqaf

Baru-baru ini segelintir umat islam tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri Kedah yang melupuskan sebidang tanah wakaf bagi tujuan pembinaan kompleks perniagaan. Tanah tersebut telah didirikan diatasnya sebuah madrasah selama lebih dari 100 tahun

Menurut kerajaan negeri bangunan tersebut telah tidak lagi berfungsi sebagai madrasah, tetapi hanya menjadi surau bagi pekerja-pekerja dari syarikat berdekatan. Kerajaan negeri juga mendakwa tiada qaryah umat islam berdekatan dengan tapak tanah tersebut antara punca madrasah itu hanya digunakan bagi solat disiang hari.

Kehadiran jemaah yang amat kecil dan keuzuran bangunan yang agak terbiar juga antara alasan-alasan lain. Persoalan yang perlu kita semua fahami adakah boleh harta wakaf dilupuskan dan sekiranya boleh, apakah kaedah yang sepatutnya dan bagaimana pelaksanaan yang dituntut oleh Islam.

Islam merupakan agama yang tidak rigid bahkan releven mengikut zaman. Sesuatu hukum berubah mengikut keperluan zaman dan masa. Perlaksanaan wakaf juga bukanlah suatu amalan yang berasal dari ajaran Islam tetapi telah wujud lebih lama dari kemunculan Rasulullah dan Islam. Hal ini terbukti kerana kaum musyirikin telah lebih lama mengamalkan khidmat sosial ala wakaf ini terutama dalam penyediaan kemudahan pengunjung-pengunjung Kaabah yang datang dari seluruh pelusuk bumi arab.

Harta wakaf adalah suatu bentuk harta samada berbentuk boleh alih atau tidak alih yang disumbangkan oleh seseorang dengan niat memberi manfaat untuk kegunaan ramai atau sebahagian dari orang ramai. Contoh harta wakaf adalah termasuk tanah, bangunan, ladang tanaman, al-quran dan lain-lain bahan yang bersifat kekal serta tidak mudah rosak sebagai contoh tidak seperti makanan dan buah-buahan.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga menerima wang tunai sebagai harta wakaf walaupun pada zahir wang terutama wang kertas tidak bersifat kekal. Pandangan Majlis adalah berasakan kewujudan nilai pada wang itu yang berupaya dikekalkan jika diurus oleh pengurusan yang efisien.

Harta wakaf ini tidak lagi menjadi hak persendirian tetapi menjadi harta umum yang kekal sehingga hari akhirat. Maksud perkataan wakaf yakni berhenti menunjukkan berhentinya pemilikan harta itu pada mana-mana individu samada melalui jual beli, hadiah, jaminan, sita atau pun warisan pusaka sebaik sahaja ianya diwakafkan oleh tuan wakaf atau pewakaf.

Harta wakaf ini kemudian akan diuruskan oleh seorang pengurus yang bertangungjawab melaksanaan matlamat wakaf sejajar dengan hasrat pewakaf. Seperlunya kita mestilah melihat kepada sejarah selepas penjajahan inggeris, pihak penjajah telah mengeluarkan suatu undang-undang yang membatalkan kesemua harta-harta wakaf yang dibuat sebelum dari itu. Ini menimbulkan pelbagai masalah hak milik dan pengurusan bagi harta-harta wakaf yang hilang akibat campur tangan British. Khuatir dengan kehilangan milikan harta-harta yang diwakafkan, disamping keperluan mendaftarkan tanah-tanah dibawah undang-undang tanah.

Majlis Agama Negeri telah dijadikan penjaga amanah, penama dan pengurus bagi harta-harta wakaf. Ini bersesuaian pada waktu itu memandangkan bidang peruntukan kuasa berkaitan wakaf adalah dibawah peruntukan kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu. Disamping itu Majlis Agama pada waktu itu mempunyai sumber tenaga dan kewangan untuk menyelia harta-harta tersebut.

Saya percaya sekiranya hak dan penjagaan ini diserahkan dibawah pengurusan penjajah, sudah pasti harta-harta ini berada ditangan pihak yang salah. Sehingga sekarang kesemua harta-harta wakaf adalah dibawah seliaan Majlis Agama dan jawatankuasa pengurusan wakaf bagi setiap negeri.

Manfaat wakaf adalah sangat luas dan berfaedah kepada masyarakat. Harta wakaf ini perlu digunakan dan diuruskan supaya matlamat wakaf yang ditetapkan oleh pewakaf tercapai. Bukan itu sahaja, pihak pengurusan wakaf juga bertangungjawab memastikan kemaslahatan harta-harta tersebut. Tidak cukup sekadar itu, harta-harta wakaf juga perlu dikekalkan faedah harta dan mempunyai potensi untuk “hidup” dengan sendiri. Yang jelas Islam melarang sebarang pembaziran dan tinggalan harta wakaf yang dhaif dan tidak bermanfaat.

Jika kita mengkaji kejayaan amalan wakaf di Turki, ia sangat mengujakan apabila sebidang tanah itu bukan sahaja dibina sebuah masjid berkapasiti besar diatasnya, tetapi juga menyediakan hospital, sekolah, kolej bahkan bantuan makanan bagi fakir miskin. Adakah pewakaf meninggalkan harta wakaf yang terlalu banyak dan tidak habis-habis? Jawapannya adalah kerana kebijaksanaan pihak pengurusan wakaf menggunakan faedah tanah wakaf itu pada tahap maksimum.

Terlupa saya maklumkan, disekeliling tanah itu turut dibina kedai-kedai yang disewakan bagi peniaga. Disitulah sumber pendapatan berterusan pihak pengurusan wakaf, mereka bukan sekadar mempunyai pembiayaan menyelenggara masjid, mereka juga mampu memberi pendidikan, khidmat kesihatan dan makanan secara percuma.

Seperti yang dijelaskan diatas, harta wakaf tidak boleh dipindah milik dan dilupuskan. Pelupusan akan menghilangkan faedah wakaf dan menutup ruang pahala yang sepatutnya diterima oleh pewakaf. Disinilah Islam tidak menggunakan kaedah syariah secara membuta tuli. Tidak masuk akal sesuatu harta itu akan kekal dan tidak rosak untuk tempoh ratusan atau ribuan tahun.

Pada lazim terdapat pelbagai sebab menyebabkan harta itu terlupus. Terdapat kaedah khusus dalam hal ini yang dikenali sebagai wakaf istibdal. Islam mengenakan syarat sekiranya harta wakaf mahu dilupuskan atau terlupus, ia mesti diganti dengan yang lebih baik. Disinilah kayu ukur sejauh mana konsep “digantikan lebih baik” itu digunakan. Gantian ini adalah bertujuan meneruskan faedah wakaf dan si pewakaf yang mungkin telah mati tetap masih menerima pahala atas amalan baiknya terdahulu. Ini juga sejajar dengan konsep harta didalam Islam dimana harta itu mestilah memberi manfaat, dan tiada guna menyimpan harta yang tiada bermanfaat apatah lagi memudaratkan. Tanah yang diberikan kepada seorang sahabat sebagai harta rampasan perang pernah diambil semula oleh khalifah arrasyidin kerana sahabat itu tidak memajukan tanah yang diserahkan.

Pihak Majlis Fatwa Kedah dalam kes ini membenarkan pelupusan berlaku dengan syarat pihak pemaju mestilah membayar nilai wang pada harga pasaran kepada pihak Majlis Agama dan mensyaratkan pemaju untuk menyediakan “surau lain dari biasa” di tapak cadangan kompeks membeli belah itu.

Kita umumnya boleh membayangkan surau yang biasanya ada di pusat membeli belah dengan bayangan sempit, kotor dan tersorok sehingga susah untuk dicari. Antara syarat lain surau itu perlu juga disediakan ditingkat bawah dengan memberi kemudahan akses. Turut menjadi syarat surau itu mestilah disertakan penghiasan luaran yang mencirikan binaan beridentiti keislaman dengan kadar Majlis Fatwa jika dilihat dari luar, penggunjung akan mengetahui wujudnya surau yang indah dan selesa di dalam pasaraya ini. Jika ini syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa, saya berpandangan ia menepati piawaian “gantian terbaik” yang dikehendaki oleh Islam.

Pihak kerajaan negeri dan Majlis Agama mesti memastikan pihak pemaju mematuhi arahan Majlis Fatwa ini dan mengenakan tindakan perlaksanaan spesifik sekiranya pemaju gagal. Perlu juga diberi perhatian syarat ini mestilah dinyatakan dengan jelas bahawa ianya tidak boleh diubah walaupun berlaku pertukaran milikan pasaraya pada masa akan datang. Sebarang perubahan mestilah mendapat kelulusan Majlis Agama dan Majlis Fatwa.

Secara kesimpulan, pelupusan wakaf ini bukanlah suatu perkara yang dilarang didalam Islam walaupun ia agak bertentangan dengan matlamat wakaf. Kaedah pelupusan harta wakaf ini perlu diurusan oleh pengurusan yang berhati-hati dan bertanggungjawab. Jika pengurus gagal menggantinya dengan lebih baik dari matlamat pewakaf, mereka bertanggungan bukan sekadar kepada Allah, tetapi juga terhadap pewakaf kerana gagal melaksanakan amanah.

Pihak pengurusan wakaf juga diseru supaya bersedia menerima perubahan dan

mencontohi kejayaan wakaf di Turki dan Mesir. Suatu pandangan kehadapan amat diperlukan untuk perubahan. Kaedah lama dalam pengurusan wakaf perlu dikaji semula kerana kaedah itu kelihatan tidak berhasil dan membantutkan perkembagaan harta wakaf di Malaysia. Majlis Agama masih boleh memainkan peranan yang penting dengan menjadi badan pemantau berentegriti yang melantik dan membenarkan pihak-pihak yang layak dan berwibawa untuk menjadi pengurus kepada harta-harta wakaf ini.

Janganlah disia-siakan wang gantian 1.4 juta ringgit itu, dengan pelaksaan wakaf yang tidak mampu memberi kesan jangka panjang dan berterusan. Majlis Agama perlu menimbang kaedah pengurusan wakaf berwawasan samada membeli hartanah yang boleh disewakan atau ladang tanaman yang boleh menghasilkan pendapatan berterusan yang berupaya menampung penyelenggaran masjid-masjid lain terutama surau baru yang bakal dibina kelak di tanah yang telah dilupuskan status wakafnya.

al-Faqir Ila Rabbihi......

Mohd Nazimi Zaim bin Haji Ismail al-Qedahy @ paksu

Pusat Pengajian Umar al-Faruq,

Jalan Kuala Kedah, Alor Star

No comments:

Post a Comment