Tuesday, July 3, 2012

Alhamdulillah... Putrajaya sahkan peniaga tidak perlu pindah dari BB Plaza

KUALA LUMPUR, 3 Jul — Putrajaya sahkan peniaga tidak perlu berpindah keluar dari Plaza Bukit Bintang (BB Plaza)berikutan kerja-kerja pembinaan stesen MRT yang dijalankan.

Menurut Menteri Hal Ehwal Pengguna, Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak UDA selaku pemilik bangunan telah bersetuju untuk mengurangkan sewa selepas penutupan di bahagian depan dibuat.

“Kita harapkan para peniaga boleh menarik nafas lega selepas perbincangan ini. Kita boleh selesaikan masalah ini tanpa perlu turun ke jalan” kata beliau selepas berbincang antara wakil peniaga, pihak UDA dan pihak MRT selama dua jam pada petang ini.

Walaubagaimanapun, Ismail Sabri menyatakan bahawa lima premis perniagaan yang terletak di luar bangunan BB Plaza terpaksa berpindah hujung minggu ini bagi kerja-kerja awal untuk pembinaan MRT.

Ismail Sabri juga berkata bahawa pemaju projek MRT iaitu MRT Corp bersetuju untuk membayar pampasan kepada lima perniagaan yang terjejas.

Minggu lalu pemilik BB Plaza, UDA Holdings dilaporkan berkata bangunan ini terpaksa diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek MRT ini dijalankan dan seterusnya menjejaskan pendapatan kira-kira 167 peniaga di BB Plaza.

Ismail bagaimanapun tidak pasti tentang berita mengatakan BB Plaza akan dijual ke pihak lain. UDA Holdings menurut beliau bersetuju untuk mengurangkan sewa selepas penutupan bahagian hadapan BB Plaza selama dua tahun atau sehingga pemilik baru membeli bangunan ini, yang mana tiba lebih awal, berdasarkan sejauh mana kerugian para peniaga selepas pembinaan projek ini dijalankan.

Dua minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Tradewinds Corporation Bhd (TCB) yang majoriti sahamnya dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary berminat untuk membeli BB Plaza dan bangunan Yayasan Selangor untuk cadangan pembangunan projek stesen MRT itu.

Pemaju hartanah dan pemilik rangkaian hotel yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, turut memiliki pegangan utama dalam projek bersama MMC-Gamuda mempunyai projek pembinaan terowong sepanjang 51 km Sungai Buloh-Kajang fasa pertama MRT yang dijadualkan siap pada 2017.

Sekiranya dijual, kata Ismail Sabri lagi, pihak UDA Holdings akan menyediakan satu klausa dalam perjanjian pembelian itu nanti untuk mengutamakan penyewa premis yang sedia ada dan sekiranya bangunan ini perlu dirobohkan, notis awal dari enam bulan - setahun lebih awal akan dikeluarkan.

Sementara itu pihak MRT yang hadir dalam sidang media itu berkata, kerja-kerja ringan dalam pembinaan itu akan bermula tengah malam 8 Julai.

Katanya lagi, perpindahan kiosk di luar memberi laluan untuk membina lencongan untuk laluan trafik Jalan Bukit Bintang dan mengekalkan tiga lorong di jalan tersebut.

MRT juga akan menggunakan “holding board” yang lebih menarik agar pengunjung akan tertarik untuk ke BB Plaza.

“Laluan itu melibatkan dari hadapan Lot 10, Yayasan Selangor hingga ke Gloria Jeans Coffee”, katanya lagi.

Projek stesen MRT ini akan siap menjelang tahun 2017 dan kira-kira RM 8.4 billion untuk pembinaan terowong sejauh 9.5 kilometer dengan tujuh stesen bawah tanah dalam laluan ini.

No comments:

Post a Comment