Wednesday, July 18, 2012

Bebaskan juga pemikiran dari belenggu penjajah - Exco Kedah

ALOR SETAR - Kemerdekaan dari erti kata sebenarnya, bukanlah hanya kita bebas dari belenggu penjajah atau pun cengkaman pemerintahannya tapi ianya lebih tepat membebaskan jiwa, pemikiran dan dari dibelenggu oleh budaya-budaya penjajah yang jelas menyimpang dari ajaran Islam.

Penjajahan fikiran lebih berkesan berbanding penjajahan tubuh badan kerana penjajahan tubuh badan hanya melibatkan fizikal yang didera, disakiti atau dizalimi tetapi penjajahan pemikiran melibatkan mental dan sekaligus ianya boleh menguasai fizikal serta melakukan tindakan mengikut pemikiran yang telah dikuasai.

“Menyambut kemerdekaan setiap tahun hanya dengan laungan merdeka tetapi tanpa penghayatan yang betul ianya tidak akan membawa apa-apa nilai samada untuk diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Apa erti laungan keramat itu dilaungkan tetapi pada masa yang sama jiwa kita masih tegar dengan budaya-budaya merosakkan, fahaman yang menjauhkan diri kita dengan Allah serta amalan yang membawa kemusnahan,“ kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abdul Ahmad dalam ucapan aluannya.

Katanya lagi, masyarakat lebih berbangga memperagakan budaya asing dan berasa lebih terhormat mempamerkan budaya barat yang songsang yang jelas menyimpang dari ajaran Islam. Budaya luar itu sering dijadikan ukuran untuk menilai seseorang bahkan mendapat liputan meluas tanpa sekatan. Mereka kadang kala lebih dihormati dari orang-orang yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

“Inilah hasil peninggalan penjajah, walau pun mereka telah meninggalkan tanahair kita 55 tahun lalu tetapi ajaran dan budaya ditinggalkan kepada kita dan amat malang sekali kita pula menjadi penyambung penjajahan mereka dalam bentuk pemikiran, budaya dan cara hidup.

“Hanya Islam sahaja dapat membaiki dan mencuci semula fenomena berkenaan kerana melalui pemahaman Islam yang jitu, kita akan bebas dari semua bentuk fahaman dan budaya lain. Islam sahaja dapat membentuk diri seseorang dari tidak baik kepada lebih baik dan seterusnya menyelamatkan aqidah dan pegangan kita dari terjerumus ke lembah kebinasaan,“ sambung beliau.

Sementara itu tegasnya lagi, dalam kontek negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama serta mempunyai kebudayaan,cara hidup, kepercayaan yang berbeza, melalui konsep perpaduan dan semangat cintakan negara kita boleh mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini bersama-sama.Sejarah menuntut kemerdekaan, bukan hanya melibatkan golongan melayu sahaja tetapi ianya juga melibatkan bangsa-bangsa lain seperti India dan China. Oleh itu perlu diingatkan, Islam memberi keadilan kepada semua tidak agama dan bangsa. Kaum-kaum perlu mendapatkan layanan yang sewajarnya dan mereka tidak boleh dizalimi dan dinafikan hak mereka.

“Di Kedah sendiri contohnya, kaum lain diberi hak menjadi sebahagian penggerak pentadbiran negeri mengikut bidang yang sesuai dengan mereka. Kebebasan mereka bersuara melontarkan pandangan diterima pakai dengan baik dan penggabungan sebegini jelas menunjukkan nilai sebuah kemerdekaan itu bukan hanya ditujukan kepada satu-satu kaum sahaja tetapi kepada semua kaum yang bernaung di bawahnya,“ sambung beliau lagi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-55 Tahun 2012, Peringkat Negeri Kedah.

Seterusnya beliau mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Kedah khususnya dapat menjadikan sambutan kemerdekaan kali ini sebagai satu platform melonjakkan kefahaman kemerdekaan sebenar di samping mengambil iktibar akan penderitaan yang dialami oleh masyarakat terdahulu. Di samping itu kita perlu mengenang perjuangan orang-orang terdahulu yang sanggup menggadaikan harta, masa, tenaga, diri malah nyawa mereka untuk mendapatkan kemerdekaan dan pusaka yang ditinggalkan itu perlulah dijaga dengan sebaik-baiknya.

Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-55 Tahun 2012, peringkat Negeri Kedah itu diadakan di Dataran Balai Besar, Lebuhraya Darul Aman dan dirasmikan oleh YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul, mewakili Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment