ALOR SETAR – Dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri mahu menguatkuasakan dasar perumahan baru adalah bersifat hasutan yang ingin menimbulkan rasa kebenciaan rakyat kepada kerajaan negeri.Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, dasar yang diwar-warkan oleh Parti Gerakan Kedah adalah suatu draf yang sedang dirangka, dan masih belum diputuskan sebagai polisi baru kerajaan negeri.
Kajian mengenai dasar perumahan ini telah dilakukan sejak sekian lama, dan ianya masih diperingkat perbincangan dengan pihak-pihak terlibat demi mencapai kepentingan bersama, terutama rakyat negeri Kedah.
“Sebenarnya ia berkaitan dengan satu draf dasar perumahan negeri Kedah, bukannya polisi yang telah diputuskan (mesyuarat Exco).
“Ianya baru draf, tetapi telah diwar-warkan, yang menjadi satu hasutan kepada rakyat untuk membenci kerajaan negeri, bagi menunjukkan bahawa kerajaan negeri lepas tangan dalam membina rumah kos rendah.
“Draf ini merupakan dokumen sulit yang bukan menjadi hebahan awam, tetapi telah dihebahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menghasut serta memberi tekanan kepada pemaju,” jelas beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini.
Tambah beliau, setelah diadakan perbincangan dengan ‘stakeholders’, kerajaan negeri mendapat maklumbalas yang baik bagi draf ini.
“Kita jemput Rehda, beberapa pertubuhan profesional yang lain, termasuk persatuan pengguna untuk mendapat pandangan dan maklumbalas, dan ianya berjalan dengan baik, dan saya tegaskan sekali lagi bahawa ianya masih draf, bukannya muktamad lagi,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment