Solat Tarawih saya terganggu
ABD JALIL ALI
9 Ogos 2012
Lebih baik mengaku, saya bukan minat sangat pada sukan. Tetapi Ahad lalu, malam ke-16 puasa, solat Tarawih saya tidak berapa khusyuk sebab badminton. Setiap selepas salam dua rakaat, saya melihat seketika pada skrin BlackBerry.
Ada sms daripada anak saya di rumah: ‘Set pertama kita menang 21-15’. Sms seterusnya agak mendukacitakan: ‘Set kedua China menang 10-21’. Pada sujud terakhir rakaat kelapan, saya berdoa agar Datuk Lee Chong Wei menang set penentuan.
Doa saya, juga doa 28 juta rakyat, tidak dimakbulkan. LCW tewas, kali kedua dalam Olimpik, di tangan musuh yang sama, Lin Dan @ pemain No.1 dunia. Dan, Malaysia terus kempunan pingat emas sepanjang penyertaan dalam sukan tersohor dunia itu sejak merdeka.
Walaupun emas tidak berkilauan, secara peribadi saya tabik pada pemain No.2 dunia itu. Sebenarnya dia telah berusaha sedaya upaya, bermandi peluh dan berhempas pulas lebih kurang sejam untuk tiga set yang amat cemas itu.
Memang, hero dari negara China itu lebih bernasib baik. Tetapi kekalahan hanya dua mata pada set penentuan itu, sebenarnya sama seperti kemenangan buat Malaysia. Meski hanya membawa pulang pingat perak, saya menganggap LCW tetap wira.
Tentu yang paling kecewa ialah pemain itu sendiri. Melihat wajahnya di TV juga di akhbar jelas sekali memaparkan kesedihannya. Dia berasa gagal melaksanakan satu tanggungjawab berat untuk negara. Sebab itu dia menulis dalam Twitter selepas kegagalan: “Maafkan saya...”
Dia tidak perlu meminta maaf, sebab semua orang bersetuju bahawa dia telah melakukan yang terbaik. Mengambil kira fizikalnya yang tidak begitu mantap berikutan kecederaan kaki semasa Piala Thomas, tewas hanya dua mata pada temasya Olimpik London adalah dikira hebat.
Tetapi, biasalah pasti ada seorang dua yang bernada sinis, dan langsung tiada semangat kesukanan. Malang sekali salah seorang yang bernada sinis itu adalah wakil rakyat yang sepatutnya sentiasa memberi dorongan dan bukan komen negatif.
Adun Kota Alam Shah, M Manoharan sedap sahaja memperlekeh LCW, dan seperti mendewakan Lin Dan. Memang mengutuk lebih mudah, itu hak beliau sebagai YB. Tetapi ada ketikanya kutukan – walaupun dalam Twitter peribadi – hanya menampakkan sikap tidak bijak kita!
Seperti yang dibuktikan, rakan-rakan dalam pembangkang pun tidak bersetuju dengan kenyataan Manoharan. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap apa yang dinyatakan oleh YB berkenaan sebagai “ulasan tidak bijak.”
Adun PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata: “Kenyataan seperti itu tidak wajar dan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana pada saya itulah kalau terlalu taksub pasal politik. Sepatutnya beliau lebih terbuka mengenai perkara itu dan tidak mencampuradukkan antara politik dan sukan.”
Veteran DAP Lim Kit Siang pun mengiktiraf kehebatan LCW, malah mencadangkan kerajaan memberi gelaran khas ‘Atlet Sepanjang Dekad’ kerana memenangi dua pingat perak bagi Malaysia dalam Sukan Olimpik.
Kalau tidak ada LCW Skuad Olimpik kita pulang dengan tangan kosong. Setelah sekian lama kita menyertai sukan dunia itu, pencapaian negara masih tidak ke mana. Kita sepatutnya berasa malu sebab ada negara yang jauh lebih mundur boleh meraih pingat beraneka warna pada sukan No.1 dunia ini.
Kita ada prasarana sukan yang terbaik. Stadium berkelas dunia, kolam renang bertaraf Olimpik, ada sekolah khas sukan, ada jurulatih dari luar negara, ada sekian banyak badan sukan, dan ada kementerian khusus sukan yang diperuntukkan beratus juta RM setiap tahun.
Tetapi dulu, kini dan selamanya tahap sukan kita pada Olimpik masih ‘gitu-gitu’. Ratus-ratus juta RM habis setiap tahun, antaranya menghantar pegawai kanan melihat sukan di luar negara, hasilnya tetap kosong. Orang Tanjung kata: “Pi mai, pi mai, dok tang tu!”
Pegawai sukan dan ketua-ketua badan sukan, tidak kira bola sepak, badminton, olah raga, asyik bergaduh sama sendiri. Mereka lebih bersemangat mempertahankan jawatan daripada berusaha untuk memajukan sukan.
Sesetengahnya menjadikan sukan sebagai landasan kelangsungan politik. Sebab itu sukan kita kantoi!
Kita ada empat tahun lagi sebelum Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. LCW sudah tua ketika itu. Kalau inginkan emas, kita perlu mempersiapkan pengganti beliau. Siapa? Sumpah, saya tidak fikir M Manoharan boleh mengambil tempat LCW.
si paria ni kalau ada pertandingan minum todi di olimpik, bukan saja tak menang malah tak layak pun. minum sebotoi dah tak tak jadi orang.
ReplyDelete