Friday, April 22, 2011

Kedah sanggup urus UUM

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pengurusan universiti berkenaan tidak mampu mengurus kewangan universiti itu dengan baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, cabaran itu dibuat berikutan dakwaan UUM yang mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta, hingga timbul persepsi bahawa Kerajaan Negeri menaikkan cukai tanah sebanyak 10 kali ganda.

“Ini bukan soal naikkan cukai tanah, kerana nilainya kembali pada asal setelah tempoh rebat tamat. Jika mereka tak mampu urus, kita bersedia ambil alih kerana kita yakin mampu urus UUM dengan sumber kewangan yang ada,” kata kepada Sinar Harian.

Menurutnya, UUM atau Kementerian dialu-alukan untuk berbincang mengenai pembayaran cukai tanah malah pihaknya bersedia bertolak ansur dalam hal ini, antaranya menawarkan bayaran ansuran dan sebagainya.

“Sejak dua tahun lalu, mereka boleh bayar tetapi sekarang kecoh pula, apa motif mereka sebenarnya,” katanya.

Azizan berkata, cukai tanah di Kedah adalah terendah setelah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah memperkenalkan dasar baru penurunan cukai tanah antara 35 hingga 75 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Sejak dasar baru cukai tanah diperkenalkan, Kerajaan Negeri hilang hasil tanah sebanyak RM50 juta. Takkan pula selepas tiga tahun, nak naikkan pula. Saya harap pihak terbabit faham istilah mengekalkan atau menaikkan cukai tanah kerana fakta awal tak tepat,” katanya.

Menurutnya, KPT harus menyalurkan peruntukan secukupnya kepada UUM sama ada untuk pembayaran cukai tanah atau menaikkan taraf infrastruktur saluran paip atau membina tangki air berkapasiti tinggi untuk mengatasi kemelut di universiti terbabit.

Sebelum ini, Azizan memaklumkan bahawa keluasan tanah milik UUM adalah 872 hektar dan cukai yang perlu dibayar oleh Kementerian ialah RM1,743,745 setahun atau 20 sen bagi satu meter persegi.

Namun setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan rebat selama dua tahun, iaitu dari 2006 hingga 2008, UUM hanya perlu melunaskan cukai tanah sebanyak RM100,000.



No comments:

Post a Comment