Friday, July 22, 2011

Bukan Islam disaran berhibur di rumah


ALOR SETAR - Penduduk bukan Islam disaran berhibur di rumah sepanjang Ramadan berikutan penguatkuasaan Enakmen Hiburan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang mengehadkan penglibatan pengunjung ke pusat hiburan.

Penceramah motivasi terkenal di negeri ini, Muhammad Husni Zakaria berkata, dengan adanya teknologi maklumat tanpa sempadan, pelbagai bentuk hiburan kini mudah diperoleh dari hujung jari dan tidak memerlukan seseorang itu menjejakkan kaki ke pusat hiburan.

“Cadangan saya kepada kaum lain, mereka boleh dapatkan hiburan di rumah. Sekarang ini bukan sukar untuk mendapat bahan-bahan hiburan. Malah sepanjang bulan itu, ahli keluarga boleh berkumpul untuk berhibur bersama, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Menurutnya, keputusan Kerajaan Negeri untuk menetapkan syarat ketat kepada pengusaha pusat hiburan dengan tidak membenarkan orang Islam memasuki premis hiburan, perlu dicontohi semua negeri kerana banyak manfaatnya.

“Selain menghormati bulan Ramadan yang mulia, tindakan itu memang wajar dan pemerintah yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang, wajib menggunakan kuasanya untuk menghentikan pusat hiburan yang jelas melalaikan,” katanya.

Muhammad Husni berkata, Kerajaan Negeri juga disarankan menutup mana-mana pusat hiburan yang dimiliki orang Melayu bagi membendung gejala negatif berleluasa dalam kalangan umat Islam.

“Biarlah hanya tauke bukan Islam yang membuka pusat hiburan kerana ia tidak salah di sisi agama lain. Saya harap mereka patuhi syarat dan pendapat saya semua agama juga melarang penganutnya mendapatkan hiburan hingga tahap melalaikan,” katanya.

Menurutnya, alasan mahu berhibur setelah penat seharian bekerja perlu diubah kepada pendekatan lebih berhemah, dan seseorang itu hendaklah berpada-pada dalam apa jua tindakannya.

No comments:

Post a Comment