ALOR SETAR - Peruntukan penyelengaraan jalan oleh Kerajaan Pusat diberi kepada semua negeri termasuklah negeri Kedah adalah berdasarkan syarat-syarat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dahulu.
Malah sekiranya Kerajaan Pusat diperintah oleh PR dan Kedah diperintah oleh Barisan Nasional pun syarat ini akan diteruskan, kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengulas tindakan tidak puas hati pihak pembangkang terhadap baki peruntukan penyelengaraan jalan raya.
Menurutnya, mana-mana sistem kewangan perbelanjaan tidak boleh melebihi peruntukan tetapi haruslah dibelanjakan dalam lingkungan bajet.
“Perbelanjaan tidak sama dengan perolehan atau penerimaan kerana perbelanjaan adalah mengikut bajet yang diluluskan oleh Sidang Dewan,” katanya kepada media.
Tambahnya lagi, kerajaan sekarang hanya meneruskan proses sebagaimana yang telah dilakukan oleh pentadbiran dahulu.
Ini berikutan beberapa ADUN pembangkang tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi, Kerajaan Negeri menerima RM147,535,242.00 pada tahun lalu dan sebanyak RM54,355,763.00 dibelanjakan bagi tujuan penyelengaraan 168 batang jalan raya seluruh daerah dalam negeri Kedah.
Seramai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili pihak pembangkang mempertikaikan jawapan bagi soalan dewan mengenai lebihan peruntukan penyelengaraan jalan raya yang disalurkan oleh Kementerian Kerja Raya pada Sidang DUN hari ini.[WartaKedah]
No comments:
Post a Comment