ALOR SETAR - Peranan golongan ilmuan agama amat diperlukan dalam mempengaruhi sikap pemimpin negara bagi mengelak berlakunya konflik terutama membabitkan isu-isu keagamaan dan kemanusiaan.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sebahagian besar konflik yang berlaku berpunca daripada pemimpin politik, dan untuk menyeimbangi konflik, perlu ada campur tangan golongan ilmuan agama.
“Konflik yang berlaku di mana-mana negara termasuk Malaysia, lebih diterajui oleh ahli politik bukan ahli agama. Ini kerana ahli politik perlukan sokongan rakyat hingga kadang-kadang mereka lupa etika kepimpinan kerana mengejar kepentingan politik dan pengaruh,” katanya, ketika berucap merasmikan majlis Makan Malam Kedamaian Asean, anjuran Asean Forum For Inter Religious Dialogue For Peace, di Dewan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Hadir sama, Pengerusinya, Dr Mujahid Yusuf Rawa serta delegasi pertubuhan agama dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Indonesia dan Thailand.
Phahrolrazi berkata, tercetusnya konflik termasuk peperangan adalah hasil keputusan ahli-ahli politik dalam kepimpinan mereka, oleh itu, pemimpin yang memiliki pegangan agama yang baik diyakini mampu mengelak tercetusnya konflik.
“Jika pemimpin politik itu dapat menjiwai kepelbagaian dalam negara termasuk kebebasan beragama dan hak asasi rakyat, pasti suasana harmoni dapat dikekalkan. Kita bertuah di rantau Asia Tenggara tidak berlaku konflik seperti di Timur Tengah, Pakistan, India atau United Kingdom. Inilah keberkatan kefahaman, saling menghormati dan kerjasama sesama pemimpin,” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu menjalin kerjasama mengelak tercetusnya konflik di rantau ini kerana ianya hanya akan merugikan semua pihak.
“Konflik yang babitkan isu agama perlu diberi tumpuan khusus. Saya juga percaya suasana harmoni dapat dipertahan melalui sistem demokrasi terbuka yang boleh menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik, walau konteks agama kita berbeza pandangan,” katanya.
Sementara Mujahid berkata, Asean Forum For Inter Religious Dialogue For Peace adalah usaha untuk mempromosi hubungan harmoni dan kedamaian antara agama di negara Asean.
“Falsafah kita adalah menghormati akidah dan merai kepelbagaian yang ada di setiap negara Asean. Dunia hari ini perlukan dialog antara agama sebagai keperluan asas menyelesaikan isu berbangkit,” katanya.
Menurutnya, dialog antara agama perlu dipromosi dalam usaha melahirkan keamanan antara kaum.
Sunday, January 1, 2012
Ilmuan agama elak cetus konflik
Labels:
Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment