Isu Madrasah Salihiah ke Mahkamah Tinggi

ALOR SETAR - Tindakan memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi semalam terpaksa dibuat bagi mempertahankan Madrasah Salihiah, setelah Kerajaan Negeri dilihat seperti mendesak untuk merobohkan bangunan berkenaan.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad berkata, tuntutan berkenaan dibuat melalui panel peguam Tetuan Ahmad Rusydi Md Nor & Partners, peguam cara bagi Plaintif sekitar jam 9.45 pagi di Mahkamah Tinggi, Alor Setar.

Katanya, berdasarkan penyataan tuntutan, Plaintif Jamludin Murad, 58, adalah seorang ahli jawatankuasa Madrasah Salihiah Kanchut dan turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi.

“Defendan pertama adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) yang merupakan pemegang amanah wakaf bagi tanah berkenaan, defendan kedua iaitu Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar serta defendan ketiga adalah Kerajaan Negeri Kedah.

“Proses memfailkan tuntutan disaksikan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mohd Hadi Hakimi Harun dan tarikh sebutan akan dilakukan pada 6 Februari 2012,” katanya kepada sidang media, di Madrasah Salihiah, Tambang Badak, di sini, semalam.

Mansor berkata, tuntutan injunksi berkenaan dibuat untuk menghalang defendan kedua dan ketiga melalui apa cara sekalipun untuk mengosongkan tanah berkenaan atau meruntuhkan Madrasah Salihiah.

“Pengendorsan tuntutan turut melibatkan deklarasi bahawa keputusan fatwa yang dibuat pada 4 Julai 2011 adalah terbatal dan tidak sah, deklarasi keputusan fatwa pada 21 Jun 2010 adalah sah serta mengikat, kos, apa-apa perintah oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau berkata, mereka bersama badan bukan kerajaan lain (NGO) antaranya Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sentiasa menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Madrasah Salihiah mempertahankan madrasah itu dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada panel peguam untuk membawa kes berkenaan.

“Keputusan untuk membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah dibuat setelah Kerajaan Negeri seolah-olah tergesa-gesa untuk meneruskan proses merobohkan madrasah.

“Kita akan meneruskan usaha yang dirancang sebelum ini untuk mempertahankan madrasah termasuk menghantar memorandum kepada Tuanku Sultan sebagai tindakan susulan berhubung isu ini,” katanya.