Tuesday, July 5, 2011

PROGRAM 6P KDN nie apa pandangan anda?

PELAKSANAAN PROGRAM PENDAFTARAN PEKERJA ASING DAN PENDATANG ASING TANPA IZIN (PROGRAM 6P) DI SEMENANJUNG BAGI WARGANEGARA BANGLADESH

1. Sebagai susulan daripada perjumpaan yang telah diadakan di antara YB Menteri Dalam Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh bertempat di Kementerian Dalam Negeri pada 29 Jun 2011, perbincangan di peringkat pegawai di antara kedua-dua pihak telah diadakan untuk meneliti mekanisme pelaksanaan Program Pendaftaran PATI khusus untuk warganegara Bangladesh.

2. Antara persetujuan yang telah dicapai adalah untuk melaksanakan Program Pendaftaran khusus yang akan dikendalikan bersama di antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di lokasi-lokasi tertentu yang menjadi tumpuan penempatan dan premis kerja warganegara Bangladesh. Pihak Pesuruhjaya Tinggi akan ‘turun padang’ bagi membuat tinjauan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang berkaitan dan akan diselaraskan dengan pihak KDN dan JIM. Program ini akan bermula dalam masa terdekat sebaik sahaja lokasi-lokasi berkenaan dikenal pasti.

3. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Penyelesaian Menyeluruh PATI atau Program 6P yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan. Gerak kerja bersama di antara JIM dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi ini dilaksanakan mengambil kira kes-kes dan laporan warganegara Bangladesh yang menjadi mangsa eksploitasi sindiket tertentu. Pada masa yang sama, sebagai golongan warganegara kedua terbanyak dalam senarai pekerja asing didapati ramai di kalangan mereka yang kini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Sehubungan itu, inisiatif bersama ini akan menyelaras pengeluaran dan urusan dokumentasi bagi PATI yang dibenarkan bekerja kelak di bawah Program Pemutihan.

4. Pada masa sama, KDN juga sedang dalam proses berunding dengan wakil kedutaan beberapa negara lain, antaranya Indonesia, Filipina, Myanmar, India dan Pakistan, bagi berusaha mencapai kata putus serupa seperti persetujuan dengan pihak Bangladesh.

5. KDN yakin bahawa inisiatif yang digerakkan Kerajaan Malaysia menerusi Program 6P ini akan dapat dilaksana serta diurus secara lebih berkesan dengan adanya bantuan daripada wakil negara PATI masing-masing.

6. Selain membantu dalam aspek pengurusan pendaftaran warga masing-masing, pembabitan pihak kedutaan ini juga sangat penting apabila masuk peringkat saringan untuk pemutihan dan pengampunan.

7. Ini berikutan keperluan dokumentasi yang banyak memerlukan campur tangan pihak kedutaan negara PATI, antaranya penyediaan dan pengesahan pelbagai dokumen, khususnya membabitkan penyediaan passport bagi PATI yang perlu dihantar pulang.

DATO’ ALWI HJ IBRAHIM
Timbalan Ketua Setiausaha (N)
Sektor Dasar Imigresen dan Pendaftaran Negara
Kementerian Dalam Negeri
4 Julai 2011

No comments:

Post a Comment