Menjelang demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang pada Isnin ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kekacauan selagi tiada pihak yang tampil membuat provokasi.
Katanya, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.
"Saya meletakkan tiga keputusan yang mungkin berlaku, ia termasuk saya diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak bersalah, bersalah dan diikat jamin atau berkemungkinan besar dipenjarakan.
"Keputusan itu tidak penting sebaliknya perubahan yang bakal dilakukan oleh rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia dalam proses pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah di Taman Sin Hoe, Bukit Baru, Melaka malam tadi.
Hukum Umno
Hampir, 3,000 orang hadir termasuk, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.
Jelasnya, kekacauan ketika kempen "Bebaskan Anwar 901" tidak akan timbul sekiranya tiada pihak yang cuba mengganggu-gugat perhimpunan secara aman itu.
"Kita minta seperti biasa, perhimpunan kita bersih daripada semua perhimpunan yang dibuat sebelum ini, aman dan selesai dengan baik dan bersurai pun dengan baik.
"Yang penting jangan benarkan sesiapa menganggu termasuk tindakan polis supaya mengawal keadaan dan jangan ada provokasi," katanya.
Serentak itu, menurut bekas timbalan perdana menteri itu, solat hajat akan diadakan di seluruh negara bagi mengelakkan fitnah dan kezaliman serta keputusan mahkamah yang adil.
"Solat hajat akan dibuat secara berterusan di berpuluh tempat termasuk di Permatang Pauh supaya diselamatkan daripada fitnah dan kezaliman.
"Saya yakin kemenangan akan berlaku, kalau tidak esok, dalam beberapa bulan lagi akan berlaku perubahan besar dalam negara kita.
"Biar dia hukum saya dan kita doa rakyat akan hukum Umno dalam pilihan raya.
"Pada 9 Januari ini kita boleh dengar keputusan mahkamah tetapi fokus kita adalah pilihan raya.
"Meskipun, Anwar dipenjarakan namun pilihan raya masih penting, dihukum dengan ikat jamin, pilihan raya masih penting, rakyat putuskan kerajaan ini tumbang akhirnya," katanya.
No comments:
Post a Comment