Oleh Aspan Alias
Sejak berita yang dilapurkan oleh Malaysian Insider dan Utusan dan beberapa blogger yang pro UMNO beberapa hari yang lepas, blog saya telah dibanjiri dengan pelawat yang ramai dan kebanyakkannya memberikan sokongan kepada saya jika saya menyertai DAP
Tidak ada parti akan dibenarkan untuk ditubuhkan jika parti-parti itu tidak memperjuangkan kebaikan untuk negara dan rakyatnya. Apa yang asas kepada segala-galanya dalam penubuhan parti itu ialah Bab Asas dan Tujuan dalam Perlembagaan sesebuah parti itu. Kalau di selidik secara teliti semua parti yang terdaftar dengan halal di negara ini bertujuan yang tidak lari dari kandungan dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semuanya mempunyai matlamat menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita ini. Apa yang membezakan dari satu parti dengan parti yang lain ialah samada pimpinan sesebuah parti itu benar-benar mengikuti apa yang diperuntukan di dalam Bab Asas Dan Tujuan yang terkandung di dalam parti-parti itu. Baik atau tidak sesuatu parti itu bergantung samada pimpinan parti itu benar-benar mengikut lunas-lunas yang telah di tulis dalam Perlembagaan parti itu.
BN pada asasnya bukannya tidak baik, tetapi semangat yang ada di dalam BN itu tidak di sempurnakan dengan betul sehinggakan rakyat tidak lagi berselera dengan komponen itu. Asasnya ialah rakyat atau kaum yang menganggotai parti-parti dalam BN itu bersatu dan seterusnya parti-parti yang berada di dalam BN itu bekerjasama dengan baik dan menjadikan komponen itu sebagai wadah untuk mencapai matlamat yang satu iaitu perpaduan kaum (national unity).
Apabila BN tidak lagi melaksanakan matlamat yang baik itu maka rakyat mula berasa tersentuh dan meninggalkan BN itu sekarang ini. Oleh kerana BN khususnya UMNO dipimpin oleh pemimpin Melayu yang lemah maka pimpinan dan ahli-ahli UMNO memainkan isu rasis yang menebal bertujuan untuk menyatukan orang Melayu di bawahnya untuk mengekalkan kuasa yang mereka sangat seronok mendapatnya. Bagi UMNO asalkan orang Melayu bersatu mereka mendapat kuasa tetapi tidak bertanggungjawab kepada keseluruhan rakyat dan merelakan perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum.
Tetapi meniupkan isu bangsa dan bersifat rasis yang keterlaluan maka rakyat berbilang kaum telah berpecah dan ianya membunuh semangat rakyat di antara kaum untuk bersatu. UMNO menggunakan isu perkauman dengan mengingatkan insiden 13 Mei 1969 dahulu sebagai senjata untuk menakut-nakutkan orang Melayu sedangkan perkara itulah yang sepatutnya cuba di baiki oleh BN, bukannya menggunakan 13 Mei itu sebagai cara untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
Apabila perkara ini terjadi ia bukan sahaja menjadikan MCA dan MIC bermasalah, ianya juga telah menjadikan semua rakyat merasa tidak selamat jika BN yang dipimpin oleh UMNO itu terus-menerus mentadbir negara dengan cara menakut-nakutkan rakyat. MCA pula terpaksa menjadi chauvinis cina untuk mendapatkan sokongan kaum cina terhadap mereka. Tetapi DAP pula yang di tuduh chauvinistic dan ini lah yang tidak dapat disabarkan oleh rakyat lagi.
Sifat chauvinis cina MCA itu menaikkan lagi suhu perpecahan kaum dalam BN sendiri sedangkan rakyat sudah tidak mahu lagi sentimen perkauman ini dimainkan kerana mereka mahu hidup dalam keadaan aman dan muhibbah di bawah ini. Rakyat sekarang sudah menolak isu-isu rasis ini dan inilah sebenarnya perjuangan kita selama ini. Rakyat telah bersabar menantikan pembaikpulihan sikap dan perangai pemimpin dalam BN itu untuk terus diberikan mandat, tetapi nasi sudah menjadi bubur. BN tidak mungkin mampu lagi untuk melaksanakan tugas menyatukan rakyat lagi.
Secara tidak sedar atau secara sedar rakyat mula tidak lagi mempercayai momokan UMNO terhadap PAS dan DAP yang selama ini mereka dengar melalui media masa perdana dan percakapan pemimpin-pemimpin UMNO. Dalam keadaan ‘keferasatan’ rakyat terhadap BN mereka telah berusaha menolak BN dan di dalam pilihanraya yang lalu BN hanya memenangi 85 kerusi di Semenanjung dan PR pula memenangi 82 kerusi. Kalau tidak kerana sumbangan kerusi dari Sabah dan Sarawak BN sepatutnya telah tumbang dalam pilihanraya yang lalu.
Rakyat melalui PR telah berjaya mengambil alih pentadbiran lima buah negeri, tidak termasuk Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai legislatif negerinya sendiri. Sejak itu negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat seperti di P Pinang telah menunjukkan bakat kepimpinan kerajaan yang baik dengan etika dan pentadbiran yang jauh lebih baik dari pentadbiran BN dahulu.
Keadaan ini tidak menyenangkan pihak BN yang telah dikalahkan oleh rakyat itu. Segala usaha dilakukan oleh pihak penyokong BN di negeri itu untuk ‘discredit’ kerajaan P Pinang sehinggakan kumpulan penyokong BN telah menghantar kek berbentuk tahi kepada Ketua Menteri negeri itu. Inilah contoh-contoh buruk yang sedang dilakukan oleh penyokong BN di P Pinang dan pemimpin-pemimpin UMNO di negeri itu tidak langsung mahu menegur sikap buruk penyokong-penyokong mereka itu.
Itu adalah tindakan desperado. Tindakan meloyakan ini membuatkan imej UMNO dan BN di P Pinang bertambah buruk dan tidak memungkinkan BN akan menjadi pilihan rakyat bukan sahaja di negeri itu tetapi menyeluruh di seluruh negara. Perkara buruk ini juga dilakukan oleh penyokong BN di Selangor, Kedah dan Kelantan dengan menggunakan TV3 dan Utusan sebagai ‘kuda pelejangnya’. Setiap malam media perdana ini meyiarkan perkara-perkara seperti ini untuk membantu BN mendapatkan kembali sokongan yang sudah ditarik balik oleh rakyat itu.
Jika ditanya saya samada usaha mereka, media perdana, itu akan berjaya, saya dengan jelas menjawabnya yang itu merupakan mimpi di siang hari sahaja. Rakyat sudah mempunyai persepsi buruk terhadap media perdana ini kerana tujuannya sangat mudah untuk difahami oleh rakyat yang ramai…iaitu untuk memecah belahkan rakyat. Selalunya UMNO hanya berjaya dalam keadaan perpecahan.
Sesudah bercakap tentang perkara yang telah di cakapkan ini, siapa yang sebenarnya yang patriotik? Orang yang patriotik ini sebenarnya orang yang macam mana? Adakah orang dan pemimpin yang telah memperkosa harta rakyat itu patriotik? Adakah pemimpin yang menggunakan kedudukannya untuk membelasah harta rakyat itu pemimpin patriotik?
Adakah pemimpin yang menambah harga perlengkapan persenjataan negara itu untuk mendapatkan ‘kick back’ itu patriotik? Adakah pentadbiran yang beretika dan bersih yang dilakukan oleh DAP di P Pinang dan kerajaan PAS di Kedah dan Kelantan itu tidak patriotik? Adakah sayangkan UMNO itu sahaja yang patriotik walaupun pemimpin yang mencuri di sana sini itu adalah pemimpin UMNO?
Adakah tindakan membawa keluar wang negara secara haram sebanyak RM1 trillion keluar negara itu tindakan yang sangat patriotik? DAN yang mengkritik pemimpin negara kerana membiarkan wang yang bertrillion itu tidak patriotik. Siapa sebenarnya manusia dan rakyat yang patriotik kepada pemimpn UMNO dan penyokongnya?
Masing-masing boleh membuat penilaian dan menjawab samada segala tindakan semua pihak itu tindakan yang patriotik. Buatlah keputusan sendirian. Yang penting sebelum membuat keputusan kita mesti berfikir sedalam-dalamnya dan bertanggungjawab ke atas keputusan yang kita ambil itu.
Jangan kita menyalahkan orang lain di atas kesilapan dan kesalahan kita sendiri. Kita sepatutnya ada rasa malu sikit-sikit kerana rakyat sedang memerhatikan kita semua. Silapnya UMNO ini, mereka memandang orang ramai ini semuanya tidak pernah ke sekolah dan tidak tahu membaca dan menulis dan seterusnya tidak berkemampuan untuk berfikir.
Pada UMNO rakyat khususnya orang Melayu senang dipersendakan dan mereka (orang Melayu) tetap akan sokong UMNO sampai hari kiamat. Mungkin itu jugalah cara setengah blogger pro UMNO berfikir….memaki hamun mereka yang tidak menyokong UMNO dan mengharapkan orang ramai akan mengikut mereka.
Pengamal media perdana serta penulis-penulis dalam alam cyber nampaknya terus-terusan mewujudkan keadaan yang berlawanan di antara RAKYAT dan UMNO.
I love u laa kedahlanie,artikel y mmg bgos,padat isi,mmg umno gunekan media dan utusan,rakyat dah cerdik,huhu,kte tgk pru13 :-)
ReplyDelete