Thursday, August 2, 2012

Guru Quran Sukarela & Bidan Kampung di daerah Pendang pula dapat sumbangan

Ramadhan menjadi rahmat untuk guru Quran dan bidan kampung

PENDANG, 31 Julai – Ramadhan kali ini memberi rahmat kepada guru-guru Quran sukarela dan bidan kampung di sekitar Kedah apabila kerajaan negeri terus memperuntukkan sumbangan kepada mereka.

Hari ini, penduduk Daerah Pendang pula mendapat sumbangan apabila golongan yang sama di Daerah Pokok Sena, dan Baling mendapat habuan masing-masing pada awal Ramadhan lalu.

Sumbangan berupa wang tunai, beras dan kurma ini diserahkan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak, diikuti dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang Maghrib berjemaah bersama penduduk setempat di perkarangan Masjid Sultanah Haminah, Pendang.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Pendang, Haji Ikbal Ahmad, dalam ucapannya mengatakan peranan guru Quran dan bidan kampung amat penting dalam pembangunan sosial negara.

“Guru-guru Quran dahulu amat tegas dalam mengajar, salah sikit kena rotan tapi kerana rotan itulah anak-anak dahulu pandai mengaji dan menghafal dengan baik.

“Zaman sudah berubah, ibu-bapa sekarang menghantar anak ke kelas komersial atau berbayar tetapi malangnya anak-anak hanya pandai membaca sahaja tetapi tidak faham makna ayat yang dibacanya dan tidak mampu mengeja huruf Al Quran,” ujarnya.

Ikbal juga mengatakan bidan kampung turut memainkan peranan sama apabila kepakaran mereka digunakan untuk menyambut kelahiran bayi di kampung kerana jarak hospital pada masa itu sangat jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai.

“Pada masa sekarang peranan mereka sudah bertukar dari menyambut kelahiran kepada mengurut ibu-ibu yang bersalin tetapi peranan mereka terus diutamakan,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Azizan, dalam tazkirah ringkasnya menerangkan solat adalah salah satu rukun islam yang wajib ditunaikan.

“Dalam mendirikan sembahyang kita wajib baca Quran, Nabi Muhammad S.A.W ada mengatakan tidak sah sembahyangnya itu melainkan baca Al-Fatihah, jika tidak pandai membaca Quran bagaimana kita nak mendirikan solat.

“Mereka mengajar anak-anak membaca sehingga boleh membaca Quran dan juga boleh mengamalkannya dalam solat, itulah sumbangan besar yang diturunkan kepada anak cucu kita supaya terus beriman kepada Allah, menjadi anak soleh dan taat suruhan-Nya,” ujaranya.

Beliau selanjutnya memberitahu, hospital hanya menyediakan beberapa orang sahaja manakala ibu-ibu bersalin perlukan bidan untuk mengurut badan supaya kembali pulih seperti dahulu, sementara doktor-doktor di hospital tidak mampu memberi rawatan urutan seperti bidan kampung yang ternyata hebat dalam bidang urutan.

“Jadi pada hari ini sebagai menghargai sumbangan mereka yang tidak kira masa menabur jasa, Kerajaan Negeri akan menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan dan galakan kepada guru Quran dan bidan kampung ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment