YAN - Hospital Yan yang mempunyai 14 mesin hemodialisis kini menghadapi masalah bagi menampung jumlah pesakit buah pinggang yang semakin meningkat, kata Pengarahnya, Dr Khadijah Sani.
Beliau berkata, setakat ini mesin hemodialisis yang ada digunakan untuk merawat 37 pesakit yang datang dari daerah Yan dan kawasan berhampiran.
Pada masa sama, terdapat 10 pesakit buah pinggang yang baru mendaftar sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut yang mengenakan bayaran minimum untuk perkhidmatan itu, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berikutan masalah itu, pesakit yang dalam senarai menunggu terpaksa mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis swasta yang mengenakan caj RM250 bagi satu sesi, dan ini membebankan pesakit.
Katanya, hospital itu akan berdepan masalah apabila dua lagi mesin hemodialisis bakal dilupuskan kerana sudah berusia 14 tahun, dan sering mengalami kerosakan yang serius.
Dr Khadijah turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum yang menyumbang sebuah mesin bernilai
RM65,000 pada 5 Ogos lepas.
Sehubungan itu, beliau berkata selain peruntukan daripada kerajaan, pihaknya turut mengharapkan sumbangan mesin hemodialisis daripada syarikat korporat dan
individu. - Bernama
No comments:
Post a Comment