Tuesday, August 7, 2012

Polis Kedah edar borang balik kampung di bazar Ramadan

ALOR SETAR - Bagi memastikan orang ramai tidak meninggalkan rumah tanpa pengetahuan polis sempena Hari Raya nanti, polis Kedah mengedarkan borang balik kampung kepada orang ramai di bazar Ramadan Taman Wira Mergong di sini semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pendekatan itu dilakukan bagi memudahkan orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman mendapat borang itu tanpa perlu ke balai polis.

"Sebelum ini mereka perlu mendapatkan borang itu di balai polis yang berhampiran dengan kediaman mereka tetapi tahun ini kami sendiri yang turun padang dan serahkan borang itu kepada mereka.

"Kami bukan sahaja mengedarkan borang itu di sini (Bazar Ramadan Taman Wira) malah kami akan turun ke bazar-bazar Ramadan lain bagi tujuan sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan ramah mesra di bazar Ramadan itu.


Beliau berkata masyarakat juga boleh memuat turun borang itu melalui laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendapatkannya di balai polis berhampiran.

Ahmad berkata penduduk yang telah mengisi borang itu tidak semestinya menyerahkannya di balai polis sebaliknya boleh diserah kepada polis yang berhampiran mereka.

"Jika mereka terjumpa anggota atau pegawai polis di mana-mana lokasi, mereka boleh serahkan terus borang itu. Kami akan simpan dan akan buat rondaan yang lebih di kawasan-kawasan yang kurang penghuni untuk bantu masyarakat supaya rumah mereka selamat dari anasir jenayah," katanya.

Ahmad berkata setiap kali tiba musim perayaan, pihaknya akan membuat operasi khas dengan melebihkan sekatan jalan raya bagi mengelakkan kegiatan yang tidak diingini.

"Kami akan pastikan semua kawasan di Kedah ini selamat kerana hanya 10 peratus pegawai dan anggota kami diluluskan cuti manakala yang lain akan bekerja seperti biasa," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment