Duit cukai kutip dari rakyat, kerajaan pulangkan balik
Berucap sempena majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa bersama guru-guru Al-Quran sukarela dan bidan di Masjid Kampung Senam, Sik, beliau melahirkan rasa penghargaannya kepada golongan berkenaan kerana jasa dan bakti mereka terhadap masyarakat.
“Apabila kita mengambil alih pemerintah Kedah sejak empat tahun yang lalu, kita mengambil keputusan untuk memberi penghargaan kepada mereka ini, terutama ketika menjelang hari raya. Sumbangan mereka sangat besar dan memberi bakti kepada generasi dulu hingga sekarang,“ tambahnya lagi.
Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta sebagai sumbangan kepada kira-kira tujuh ribu guru-guru Al-Quran sukarela dan bidan-bidan kampung seluruh Kedah pada tahun ini. Walau pun sumbangan tersebut tidak memadai dengan sumbangan golongan berkenaan yang besar kepada masyarakat tetapi ianya lebih kepada sebagai tanda ingatan serta menghargai jasa-jasa mereka, di mana sebelum ini tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan terdahulu.
“Saya sendiri belajar mengaji dengan guru Al-Quran belakang rumah saya. Saya belajar mengeja, kemudian baca muqaddam, lepas itu barulah baca Al-Quran. Walau pun sekarang ini telah banyak sistem pembelajaran Al-Quran tetapi sistem yang kita belajar sejak dulu lagi adalah melalui guru-guru Al-Quran kampung.
“Mereka ini bukan ada sekolah, tidak ada ijazah atau kelulusan tinggi tapi khidmat dan jasa mereka sangat besar. Mengenalkan Al-Quran kepada kita,” sambung beliau.
Menurutnya lagi, hendak dirikan solat kena tahu baca Al-Quran. Kalau tidak boleh membaca Al-Quran, macamana hendak membaca Al-Fatihah atau ayat-ayat lain dalam sembahyang. Maka jelas sekali peranan golongan berkenaan walau nampak kecil tetapi memberi makna yang besar.
Tegasnya lagi, berkat doa yang dipanjatkan oleh rakyat Kedah, Allah SWT telah menerbitkan bijih besi di Kedah. Banyak tempat sudah dikenal pasti kewujudan bijih besi dan ini menunjukkan rahmat dan rezeki Allah apabila kebajikan golongan yang memerlukan diambil perhatian. Kerajaan negeri akan pulangkan semula segala hasil pendapatan negeri kepada rakyat terutama kepada golongan yang memerlukan,
Seramai 438 orang guru-guru Al-Quran sukarela dan 74 orang bidan meliputi seluruh daerah Sik telah menerima sumbangan sempena bulan Ramadan pada tahun ini. Sumbangan disampaikan oleh YAB Menteri Besar.
Antara yang turut hadir termasuklah, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul, Ahli Parlimen Sik, YB Che Uda Che Nik, ADUN Jeneri, YB Dato’Yahaya Abdullah, YB Senator Yusuf Husin, Pegawai Daerah Sik, Pengerusi YIK dan Tuan Guru Hj Salleh Musa.
No comments:
Post a Comment