Semua negeri PR guna Sebangsa, Senegara, Sejiwa
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah bersetuju untuk bersama-sama menggunakan tema tersebut.
Beliau berkata, pada awalnya keputusan menggunakan tema berbeza atas dasar menghormati negeri-negeri yang telah menetapkan tema masing-masing.
“Sebelum ini, hanya Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Exco negeri Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum PR membuat keputusan untuk menggunakan tema itu.
“Bagaimanapun Kedah dan Kelantan yang menggunakan tema berbeza akhirnya sepakat menggunakan tema yang sama,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, PR mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menukar tema Hari Kemerdekaan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati agar ia tidak mencerminkan Barisan Nasional (BN) semata-mata.
Kelmarin, PR menegaskan pendiriannya mahu menggunakan tema berbeza bagi negeri ditadbir mereka.
Tema sambutan Hari Kebangsaan bagi Kelantan ialah Menerajui Perubahan, Kedah memilih Terus Berbakti manakala Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema yang sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.
Difahamkan, perbezaan tersebut adalah bukti semangat demokrasi masih hidup dalam PR kerana negeri-negeri diberikan kebebasan untuk memilih tema mereka sendiri.
Merdeka: Kedah guna logo dan tema bersama
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dan dimaklumkan kepada beliau hari ini.
"Saya telah menerima panggilan telefon dari Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah memaklumkan keputusan itu hari ini," kata Mustafa.
Menurut Mustafa yang meruapakan Pengerusi JK Pemilihan Logo Hari Kemerdekaan ke 55 Pakatan Rakyat, beliau telah berbinacang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak mengenai perkara ini semalam.
Bagi Mustafa (gambar), keputusan Kedah ini menunjukkan betapa hebatnya demokrasi dalam Pakatan Rakyat.
"Kami jawatankuasa peringkat pusat telah bersetuju menerima Kedah dan Kelantan menggunakan tema dan logo mereka sendiri untuk sambutan Kemerdekaan ini walaupun kita ada logo kita sendiri.
"Ini kerana, mereka telah membuat keputusan awal dari keputusan Pakatan tentang pemilihan logo itu.
"Sekarang, mereka (Kedah dan Kelantan) yang membuat keputusan sendiri untuk menggunakan logo dan tema yang sama," kata Mustafa kepada Harakahdaily.
Semalam Kelantan membuat keputusan untuk menggunakan logo dan tema merdeka yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun memutuskan tema mereka sendiri sebelum ini iaitu 'Kelantan Menerajui Perubahan'.
Kedah telah membuat keputusan untuk menggunakan tema 'Terus Berbakti' sebelum ini kerana ia diputuskan sebelum Pakatan Rakyat memutuskan untuk mempunyai tema tersendiri.
Pakatan memutuskan untuk mempunyai tema sambutan Merdeka ke 55 sendiri selepas tidak bersetuju dengan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat 'Janji Ditepati'.
Ini kerana, tema itu selari dengan tema kempen BN sedangkan sambutan kemerdekaan adalah untuk semua rakyat negara ini.
Tema Pakatan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dihasilkan oleh satu penal yang diketuai oleh Datuk A Samad Said.
Logo sambutan Merdeka ke 55 dan Hari Malaysia 2012 akan diperkenalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat esok.
No comments:
Post a Comment