Monday, August 6, 2012

Usaha giat bantu usahawan Kedah

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap program yang melibatkan para usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Usahawan dan Pembangunan Insan, YB. Abdul Ghani Ahmad berkata, terdapat seramai 1,500 usahawan Bumiputera terlibat dalam bidang perniagaan yang terdiri daripada usahawan baru dan juga sedia ada di negeri ini.

“Terdapat 17 kategori usahawan meliputi makanan, minuman, pakaian, percetakan, perkilangan, perusahaan kuih tradisional, saloon dan pusat kecantikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera 2012 di Taman Perniagaan 2010, Mergong, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah membuat pelbagai program dalam menampilkan usahawan-usahawan muda untuk menjadi usahawan yang berjaya.

“Antara program yang dilaksanakan ialah mengadakan Bazar Sinar Sejahtera di Pekan Rabu dan Bazar Sinar Malam di Perkarangan Stadium Darul Aman,” katanya.


YB. Ghani memberitahu, penganjuran Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera 2012 oleh Yayasan Bekas Komando Malaysia (YBKM) dan Kerajaan Negeri Kedah itu, secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga dan usahawan untuk menambahkan pendapatan mereka.

“Kita menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh peniaga-peniaga serta usahawan-usahawan untuk turut sama terlibat dalam menjayakan Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera 2012,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) turut memberi kerjasama kepada YBKM untuk menguruskan Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera 2012.

“Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab sosial melalui Pembangunan Insan di bawah portfolio Pembangunan Usahawan untuk mengadakan Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera 2012 dengan kerjasama YBKM,” ujarnya.

Sempena program itu, YB. Abdul Ghani Ahmad turut mengacau dan mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung serta mengadakan lawatan ke gerai-gerai Bazar Ramadhan dan Karnival Eksponiaga Sejahtera.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, YB. Tuan Haji Ahmad Kassim; Pengerusi YBKM, Tuan Haji Yusof Isa dan Penyelaras YBKM, Encik Mohd Helmy Zulkhafri.

No comments:

Post a Comment