Wednesday, July 20, 2011

Hentian bas usang perlu perhatian

ALOR SETAR - Masalah perkhidmatan hentian bas yang disediakan di pusat bandar ini masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

Ini kerana terdapat hentian bas yang dibiarkan dalam keadaan usang.

Sinar Harian mendapati keadaan hentian bas di Jalan Pumpong rosak sehingga menyusahkan pengguna menunggu bas di kawasan berkenaan.

Hentian bas berhampiran hospital swasta itu menimbulkan kesukaran kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Pengadu, Mohd Rashid Abdul Rahman, 32, berkata, masalah itu perlu diberi perhatian bagi memudahkan orang ramai menunggu bas.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu mengambil tindakan segera untuk kemudahan orang awam.

“Keadaan hentian bas ini sudah lama dibiarkan tanpa penyelenggaraan daripada mana-mana pihak sehingga menyukarkan kami untuk menggunakannya.

“Hentian bas ini masih boleh digunakan, jadi jika dibiarkan rosak, saya bimbang jika keadaannya semakin teruk dan tidak boleh digunakan,” katanya.

Mohd Rashid berkata, pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian terhadap masalah hentian bas usang terutama dari segi tempat duduk dan bumbung.

Menurutnya, fungsi hentian bas juga dilihat seolah menjadi papan tanda apabila kebanyakan syarikat pinjaman melekatkan iklan mereka sesuka hati.

“Tindakan yang dilakukan itu mencemarkan keadaan hentian bas yang sememangnya usang. Kebanyakan hentian bas yang dibina berada di bahu jalan utama, jadi ia kadangkala menyakitkan mata orang ramai yang menggunakan jalan itu.

“Keadaan ini juga mampu menimbulkan kesan buruk kepada industri pelancongan apabila kemudahan awam di pusat bandar tidak diselenggarakan dengan baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment