Sunday, January 1, 2012

Nik Aziz mahu Muslim utamakan kalendar Hijrah

oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : January 2, 2012
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru agar kalendar Hijrah digunakan sebagai kalendar utama dalam kehidupan seharian umat Islam termasuk dalam urusan pentadbiran.

Dalam tulisannya sempena tahun baru 2012 semalam, Mursyidul Am Pas ini berkata, buat masa sekarang kalendar Hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar Masihi sebagai kalendar utama.

"Paling tidakpun, pada bulan Ramadan dan Syawal kalendar Hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar.

"Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar Hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam," tulis beliau lagi.

Jelas beliau, kalendar Masihi pun asalnya daripada penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajahan.

"(Oleh itu) saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran," katanya lagi.

Kata Nik Aziz, beliau rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan.

"Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharam yang merupakan sambutan tahun baru 1433H dan hari ini (semalam) kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masihi.

"Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari?" katanya lagi.

Kata Nik Aziz lagi, menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW.

"Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah.

"Menggunakan kalendar Hijrah bererti mengingatkan kita semula kepada pahit maung perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah," katanya lagi.

Soal beliau, adakah generasi muda hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun.

"Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid Harithah, namun dilempar dengan batu? Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini," katanya lagi.

Justeru kata beliau, apabila kalendar Hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment