Friday, August 17, 2012

Golongan Asnaf diraikan di Seri Mentaloon


ALOR SETAR- Seramai 986 orang yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, golongan kurang berkemampuan serta mualaf dari Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis dan Persatuan Saudara Baru diraikan dalam majlis penyampaian sumbangan sempena hari raya dan majlis berbuka puasa di Dewan Seri Mentaloon.

Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja, Ustaz Azizan Abdul Razak dalam tazkirahnya berkata, kebajikan bukanlah satu publisiti tetapi ianya merupakan amanah dan tanggungjawab kepada pemerintah untuk melaksanakannya.

“Anak-anak yatim perlu diberi keutamaan kerana mereka kehilangan bapa atau ibu bukan atas kehendak mereka. Begitu juga dengan ibu-ibu tunggal dan orang-orang kurang berkemampuan, mereka juga tidak mahu hidup mereka sebegitu.


“Mereka ini adalah golongan mustad’afin yang mesti diberi perhatian dan pertolongan, lebih-lebh lagi menjelang hari bukan bulan baik ini,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab kepada orang-orang Islam sahaja malah kepada orang bukan Islam juga apabila tiba hari-hari perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali, mereka juga turut dirai dan diberi sumbangan.

“Kerajaan negeri berusaha memberi keselesaan kepada rakyat tetapi bukan memberi kemewahan. Tujuan kita agar mereka tidak terasa tersisih dan sebab itulah kita bersetuju melalui UPEN memperuntukan kewangan setiap tahun untuk program-program seperti ini,” ulasnya lagi di hadapan kira-kira 1500 orang hadirin.

Tambahnya lagi, di dalam Surah Al-Maun ada memperingatkan, Allah menempelak orang-orang yang tidak membantu anak-anak yatim, orang-orang miskin dan Allah juga melaknat orang yang melakukan kebajikan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan mengharapkan pujian manusia. Oleh itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemerintah memastikan golongan sedemikian mendapat perhatian sewajarnya.

“Anak-anak yatim ini aset negara, apabila kita jaga mereka dengan elok, mereka ini suatu hari nanti akan menjadi pemimpin, pentadbir dan menjadi penyelamat negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada NGO-NGO yang sepanjang bulan Ramadan ini terus menabur bakti kepada anak-anak yatim. Dalam hadis ada mengatakan, orang-orang yang membantu atau membela anak-anak yatim ini akan berpeluang berkawan rapat dengan Rasullullah di syurga nanti,” terang Azizan.

Beliau mengingatkan hadirin, anak-anak yatim ini adalah golongan yang lemah dan menjadi kewajipan kepada semua untuk membantu dan setiap orang perlu bermuhasabah dan berfikir, ‘suatu hari nanti mungkin anak-anak kita pula akan menjadi anak yatim’.

“Sekarang ini, kita lihat anak orang lain yang menjadi yatim, nasib anak-anak kita tak tahu bila pula. Kita pun tak tahu bila isteri kita akan menjadi ibu tunggal, itulah sebabnya kita kena menyayangi mereka.

“Dalam hadis ada memperingatkan kita, tidak sempurna iman kita sehingga kita mengasihi saudara kita seperti kita mengasihi diri kita sendiri,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyampaikan sumbangan kepada para penerima. Majlis yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon tersebut turut dihadiri oleh Speaker DUN, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan , ADUN, Ahli Parlimen dan pemimpin masyarakat.

No comments:

Post a Comment