Tarikh : January 1, 2012
ALOR SETAR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yakin Kedah kekal bawah pentadbiran Pas kerana tiada sebab untuk rakyat menolak kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) Kedah.
Katanya, rekod cemerlang yang ditunjukkan oleh kepimpinan sedia ada jauh berbeza dengan kepimpinan yang diterajui Barisan Nasional (BN) lebih 50 tahun lalu.
“Pemimpin Pas tidak pernah guna dana Kerajaan Negeri untuk anjur program parti, berbeza dengan pemimpin Umno yang secara terang-terangan buat begitu, Buktinya semak sahaja Laporan Audit Negara atau bandingkan kewangan negeri ketika ditadbir Pas dan BN,” katanya, ketika berucap pada Jamuan Dana Pilihan Raya Pakatan Rakyat Dun Derga, Parlimen Pokok Sena, di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), malam kelmarin.
Pada majlis itu, Mahfuz selaku Ahli Parlimen Pokok Sena menerima sumbangan untuk disalurkan kepada dana pilihan raya terbabit.
Menurutnya, Pas Kedah telah membuktikan transformasi politik di negeri ini adalah lebih baik berbanding diterajui BN.
“Kita amal politik bersih, sebab itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, saya percaya kita boleh melangkaui lebih jauh untuk ambil alih Putrajaya dan ubah masa depan rakyat,” katanya.
Mengulas isu Madrasah Salihiah, Mahfuz berkata, pihak berkenaan didakwa cuba putar belit fakta, kerana asyik menggembar-gemburkan mengenai perobohan madrasah, sebaliknya surau baru yang digantikan tidak pula dihebahkan.
“Mereka beri gambaran seolah-olah Kerajaan Negeri kejam dan tidak benar orang solat, sedangkan di Makkah pun, pernah dirobohkan masjid dan dibina yang baru, tidak pula timbul masalah,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya tidak mengheret institusi diraja mahupun agama dalam isu politik.
“Kita cuma mahu perindahkan Bandaraya Alor Setar, dan mencantikkan madrasah sedia ada. Diharap tiada pihak cuba cemar nama baik Tuanku Sultan apabila masing-masing pertahan fakta hingga mengaitkannya dengan perkenan Tuanku,” katanya.
No comments:
Post a Comment