13 Sya'baan 1433 bersamaan 03 Julai 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Johor dari UMNO Datuk Ayub Rahmat untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri pertama yang melaksanakan hukum hudud membuktikan bahawa perjuangan PAS selama ini terbukti benar.
DPPM melihat cadangan Datuk Ayub Rahmat ini adalah cadangan yang baik dan wajar disahut oleh semua umat Islam. Seharusnya Datuk Ayub sedari bahawa cadangan beliau adalah usaha perjuangan PAS sejak awal penubuhannya. Mungkin baru hari ini beliau faham bahawa perjuangan menegakkan syariat Islam adalah kewajipan setiap pemerintahan Islam untuk laksanakannya, dan ia bukan isu politik kepartian semata-mata. Mungkin juga beliau baru menyedari bahawa dengan usaha inilah PAS semakin diterima baik oleh segenap masyarakat tanpa mengira kaum sehingga bukan Islam turut menerima dan menghormati pendirian PAS.
Jika dakwaan UMNO selama ini bahawa PAS berjuang menegakkan syariat Islam secara ‘versi PAS’, inilah masanya UMNO pula membuktikan perjuangan Islam mengikut syariat Islam yang sebenar. Elok juga UMNO tunjukkan bagaimana syariat Islam mengikut Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW supaya PAS boleh jadikan panduan kerana PAS sentiasa bersedia menerima teguran jika ada kaedah sebenar pelaksanaannya tidak tepat sebagaimana dakwaan UMNO.
Apabila UMNO juga sudah mula bercakap soal hudud, ini membuktikan dakwah PAS sudah sampai sehingga ke relung jantung ahli dan pemimpin UMNO. Terbukti, perjuangan mendaulatkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS bukan omongan kosong dan juga perjuangan sia-sia. Sebaliknya syariat Islam pasti akan diberi kemenangan oleh Allah SWT meskipun pelbagai halangan yang telah dan sedang menimpa. DPPM bergembira kerana Datuk Ayub sedar bahawa perjuangan menegakkan Islam sedang meniti kejayaan di mana-mana negara termasuk di negara ini, dan DPPM bersedia memberikan kerjasama sekiranya benar cadangan ini untuk dilaksanakan.
Adalah diharapkan ucapan Datuk Ayub ini adalah lahir dari nuraninya sendiri yang ikhlas dan insaf dengan melihat syariat Islam sebagai penyelesai masalah kebejatan sosial serta jenayah yang semakin berleluasa di negara ini. Ucapan ini diharapkan bukan bermotif politik sempit semata-mata yang merasakan UMNO sudah kehilangan sokongan rakyat, justeru terpaksa beralih kepada isu tertentu bagi meraih simpati orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Soalnya, adakah cadangan ini pula akan disambut baik oleh kepemimpinan tertinggi UMNO atau hanya sekadar satu lagi ilusi yang akhirnya akan dibakul sampahkan kelak.
No comments:
Post a Comment