Oleh Mohd Farhan Darwis
July 05, 2012
KUALA LUMPUR, 5 Julai – Selepas menerbitkan dua buah buku kontorversi melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertajuk, “Najib PM terakhir” dan “Kesalahan-kesalahan Najib”, penulisnya, Shahbudin Husin kini menerbitkan buku terakhir beliau sebagai ahli Umno bertajuk “Asalkan Bukan Najib.”
Shahbudin yang berusia awal 40-an itu menjelaskan buku terbarunya itu merupakan kesinambungan daripada dua bukunya sebelum ini yang telah pun mendapat tempat di hati masyarakat, terutamanya generasi muda yang gemar melihat perkembangan politik di negara ini.
Karya terbaru dengan 300 muka surat ini dikeluarkan demi mengajak pembaca dan rakyat Malaysia untuk menilai semula rasionalnya Najib sebagai perdana menteri malaysia dengan begitu banyak isu yang dilihatnya tidak diselesaikan, sebaliknya Najib lebih gemar menggunakan pendekatan “tunggu dan lihat”.
“Banyak perkara yang Najib ambil tindakan hanya setelah setelah sesuatu isu menjadi parah. Contohnya skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) ... bila sudah semakin parah baru beliau masuk campur, dan mengambil tindakan terhadap (Datuk Seri) Shahrizat (Jalil).
“Malah, banyak lagi perkara saya telah sentuh dalam buku terbaru ini, yang mana mengajak masyarakat Malaysia menukar perdana menteri ... tidak kira daripada Umno mahupun Pakatan Rakyat (PR), tapi bukan Najib,” jelasnya dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.
Antara tokoh yang Shahbudin merasakan lebih layak menjawat jawatan itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, veteran Umno dan Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka, (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah, dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.
“Mereka ini adalah antara yang paling layak menjawat jawatan perdana menteri. Bukan Najib,” tegasnya lagi.
Buku 32 bab ini turut dihasilkan dengan mengambil kira Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
“Kita sudah tidak perlu tegur Najib, kita perlu tukar. Najib PM yang lemah.”
Menjelaskan keahliannya sebagai bekas ahli jawatankuasa Umno Wangsa Maju, Shahbudin menjelaskan, beliau mendapat berita bahawa kemungkinan tindakan tatatetib akan diambil terhadapnya ekoran penerbitan buku-bukunya itu.
“Saya ada mendengar berita mereka akan memanggil saya untuk menghadap Lembaga Tatatertib dan Disiplin Parti, namun sampai sekarang masih lagi tiada sebarang perkembangan.
“Bagaimanapun, saya masih lagi belum putuskan untuk menyertai mana-mana parti lain buat masa sekarang,” tambahnya yang melihat ini adalah karya terakhirnya sebelum meninggalkan parti terbesar Melayu itu.
Bekas wartawan ini juga menjelaskan,” kalau bebas pun boleh juga, dua-dua pihak saya boleh kritik.”
Dalam buku terbarunya itu lagi, Shahbudin menjelaskan ramai rakyat yang ingin meninggalkan Umno namun terikat dengan rasa “sayang kepada parti” yang mana menghalang mereka daripada meninggalkan parti.
“Mereka rasa terhutang budi kepada Umno, namun ada juga rasa tidak puas hati. Tapi atas sebab “sayang” itu, mereka tetap bersama Umno,” tambahnya lagi.
“Tapi kalau Najib tidak pernah nak berubah, tiada sebab kita perlu sokong beliau lagi,” tegasnya.
Antara tajuk utama yang menarik dalam buku ini adalah: Najib sebagai PM paling lemah, Anwar dan Muhyiddin sedang ‘Mengepung’ Najib, Asalkan Bukan Najib, 75 Alasan Najib Patut Ditukar, Bagaimana Umno Nak Berubah Najib Pun Tak Berubah, Surat Tamrin Tun Ghaffar Kepada Najib, Dari Pemimpin Menjadi Penggemis, dan banyak lagi.
“Buku ini lahir atas kesedaran kepentingan untuk rakyat dari rakyat,” katanya lagi.
sikap double standard yang jelik
ReplyDelete