Thursday, July 5, 2012

“Saya akan letak jawatan jika diarah Menteri Besar” - Rektor KUIN

ALOR SETAR – Rektor Kolej Unversiti Insaniah (KUIN), Profesor Dato’ Dr. Jamil Osman tidak akan meletakkan jawatannya kerana beliau hanya menjalankan tugas yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Insaniah.

Dr. Jamil Osman berkata, beliau tidak akan meletak jawatannya sebagai rektor selagi mana Menteri Besar Kedah tidak menyuruhnya berbuat demikian.

Beliau berkata demikian semasa bercakap di sidang media berikutan isu demonstrasi agar beliau meletakkan jawatan sebagai Rektor KUIN di Wisma Darul Aman.

“Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak, selagi arahan rasmi tidak dikeluarkan. Tetapi jika saya disuruh oleh MB untuk meletak jawatan, maka hari ni juga saya letak jawatan.

“Saya bukan memohon untuk menjadi rektor tetapi saya dijemput untuk menjadi rektor oleh Ustaz Azizan. Saya hanya menjalankan tugas ini dan ianya adalah tugas saya kepada ummah dan negeri saya. Semasa dijemput untuk menjalankan tugas di negeri ini, saya rasa ianya merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya bersyukur kerana sudah empat tahun saya menjalankan tugas disini,” jelasnya.

Katanya, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan kemelut KUIN bukanlah serangan peribadi kerana semua keputusan yang berkaitan dengan KUIN adalah di bawah Lembaga Pengarah.

Manakala, berkenaan dengan memorandum yang dihantar sebelum ini, ianya telah hantar kepada Menteri Besar dan mereka sendiri telah berjumpa dengan Menteri Besar.

“Selain itu, ramai staf menyangka KUIN adalah universiti milik kerajaan tetapi yang sebenarnya KUIN adalah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang diberi pembiayaan oleh kerajaan negeri.

“KUIN tertakluk kepada Lembaga Pengarah, jadi apa yang diputuskan maka saya akan menjalankan keputusan tersebut,” ujarnya.

Terangnya, KUIN menjana kewangannya daripada yuran-yuran pengajian kerana dana yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah tidak mencukupi. Oleh itu, baru-baru ini pihak lembaga telah meluluskan kenaikan yuran dan telah dipersetujui oleh kementerian.

Beliau berharap agar staf KUIN memahami situasi ini dan bersama-sama mendokong usaha untuk membina sebuah institusi Islam kerana KUIN merupakan salah sebuah universiti Islam di Malaysia. Insya-Allah mereka akan mendapat keberkatan dunia dan khirat.

No comments:

Post a Comment