Wednesday, July 4, 2012

Ganjaran segera RM1000 untuk pemenang emas di Sukma

ALOR SETAR - Atlet-Atlet Kedah yang berjaya memperolehi pingat emas semasa kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 yang berlangsung di Pahang dari 7 hingga 16 Julai 2012 akan menerima ganjaran segera sebanyak RM1,000 dari Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, bagi atlet yang berjaya menyumbang pingat emas, perak dan gangsa turut menerima imbuhan daripada Kerajaan Negeri.

“Bagi pingat emas, mereka akan menerima imbuhan sebanyak RM3,500, pingat perak RM2,000 dan pingat gangsa RM1,000 manakala bagi berpasukan akan menerima imbuhan berdasarkan kadar yang akan diumumkan nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Negeri Kedah Darul Aman Sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 2012 di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi kepada kontinjen bagi menjaga maruah dan nama baik Negeri Kedah dan seterusnya mengangkat martabat sukan di negeri ini.

“Saya berkeyakinan penuh dengan komitmen serta kerja kuat Ketua Kontinjen iaitu Dato’ Haji Khazali Haji Din termasuk pengurus serta atlet dan kita akan mampu membuktikan dalam mengekalkan prestasi yang terbaik kerana saya difahamkan bahawa atlet-atlet Kedah sudah membuat persiapan rapi sejak lebih setahun lalu di bawah seliaan MSNK,” katanya.

Menteri Besar memberitahu, melalui temasya SUKMA, beliau percaya sudah tentu setiap individu yang mengambil bahagian akan cuba memperoleh kejayaan yang cemerlang.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar semua atlet yang bertanding akan berjuang dengan penuh semangat persaingan dan kesukanan yang tinggi untuk mencapai satu tahap prestasi yang lebih baik, tinggi serta bertaraf dunia seterusnya meletakkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib dalam ucapannya berkata, seramai 371 atlet dan 100 pegawai akan menyertai temasya SUKMA ke-15 di Pahang Darul Makmur.


“Kita akan mengambil bahagian dalam 24 jenis sukan yang akan dipertandingkan dan kita meletakkan sasaran 36 pingat emas pada temasya SUKMA ke-15 di Pahang,” ujarnya.

Dr. Hamdan menjelaskan, beliau turut berbangga kerana temasya SUKMA 2012 kali ini dijayakan dengan penglibatan seramai 471 orang yang terdiri daripada pegawai dan atlet Negeri Kedah.

“Kejayaan mengekalkan tempat kelima di SUKMA ke-14 di Melaka semestinya menjadi pendorong dan motivasi untuk kita mengekalkan prestasi terbaik di SUKMA ke-15 di Pahang nanti,” katanya.

Tambahnya, kejayaan melalui SUKMA ini juga menjadi kayu pengukur kepada pembangunan sukan yang dirancang di setiap negeri.

“Pencapaian di SUKMA ini akan mencerminkan perancangan dan keberkesanan program pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh sesebuah negeri,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Usahawan dan Pembangunan Insan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dr. Abd. Isa Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Paduka Haji Rasli Basir; Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Bakar Din; Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK), Syed Khairol Annuar Syed Abidin dan Penolong Pengarah MSNK, Encik Azmi Abdun.

No comments:

Post a Comment