ALOR SETAR – Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kini semakin mendapat tempat dihati institut pengajian tinggi luar apabila Universiti Islam Yala (YIU) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengannya di Wisma Darul Aman dan disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Dalam majlis berkenaan KUIN diwakili oleh Rektornya, Profesor Dato’ Dr. Jamil Osman, manakala YIU diwakili Rektornya, Dr. Ismail Lutfi Japakiya.
Hasil daripada MoU ini akan membolehkan KUIN dan YIU berkongsi dan bertukar kepakaran serta sumber yang dimiliki. Selain itu, melalui MoU ini kedua-dua universiti dapat menjalankan projek usahasama, latihan dan pertukaran staf di samping mengadakan penganjuran bersama kursus, simposium dan seminar.
Dalam ucapannya, Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN berharap MoU yang dimeterai akan memperkasakan hubungan dua hala di antara KUIN dan YIU, khususnya meningkatkan tahap akademik di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara masyarakat Islam di kedua-dua buah negara.
Sementara itu, Dr. Ismail Lutfi berkata, beliau bersyukur dan gembira di atas perjanjian yang ditandatangani di samping mengucapkan terima atas bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh KUIN dalam membantu minoriti Islam di selatan Thailand untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, beliau turut berterima kasih kerana KUIN telah melatih ramai staf bank Islam di Thailand.
No comments:
Post a Comment