ALOR SETAR – Bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Daerah Yan sebagai daerah pelancongan domestik, maka kerajaan negeri kini sedang mengadakan pelbagai aktiviti dan perancangan yang lebih berkesan.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, YB Dato’ S. Manikumar berkata, kerajaan negeri kini telah menaik taraf kemudahan pelancongan di Gunung Jerai melalui Regency Hill Resort (Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah) yang telah menjadi daya tarikan utama di Daerah Yan.
Beliau menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis ketika menjawab pertanyaan ADUN Guar Chempedak, YB Dato’ Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkenaan dengan usaha kerajaan negeri bagi menjadikan Daerah Yan sebagai pusat pelancongan, dalam Sidang Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke Lima Dewan Undangan Negeri Kedah Ke Dua belas, di sini.
“Selain itu, kita turut mengadakan acara seperti Kedah 4x4 Challenge 2011 dan ianya telah menarik masuk seramai 30 peserta dan 800 pengunjung ke Titi Hayun.
“Acara ini turut mendapat liputan TV3 dan majalah-majalah sukan serta pelancongan. Acara ini akan dijadikan acara tahunan bagi mempromosikan Daerah Yan sebagai pusat pelancongan,” terangnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberikan galakan dan sokongan kepada pentadbiran daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan pengusaha tempatan untuk menambah bilangan produk pelancong, meningkatkan tahap kemudahan serta mengadakan acara-acara menarik untuk menarik masuk pelancong.
Majlis Daerah Yan menyediakan kemudahan penginapan di Titi Hayun dan menaik taraf Pantai Murni. Terdapat juga beberapa pengusaha tempatan yang memajukan kemudahan penginapan dan ‘homestay’.
“Namun begitu, pada tahun 2012 kerajaan negeri memberi tumpuan menaik taraf kemudahan pelancongan sedia ada seperti di Titi Hayun dan Homestay Kampong Raga,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment